GUA MUSANG – Jalan Persekutuan FT008 di laluan Gua Musang-Merapoh ditutup selama lapan hari bermula esok hingga 14 Mac ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penurapan di jalan lencongan berhampiran Taman Wangi di sini.
Penutupan laluan tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) melibatkan Pakej 3B dan 3C yang sedang dijalankan di kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Nik Badlihisham Nik Ismail berkata, penutupan jalan itu melibatkan kedua-dua arah dari persimpangan Taman Wangi hingga ke simpang Hospital Gua Musang.
“Sepanjang tempoh itu, pengguna jalan raya perlu merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda keselamatan dan arahan petugas di lokasi bagi memastikan kelancaran trafik.
“Jalan berkenaan dijangka dibuka semula kepada semua kenderaan pada 14 Mac selepas kerja-kerja penurapan selesai,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, isu jalan rosak dan kesesakan di LTU Pakej 3B dan 3C di Gua Musang diberi perhatian serius Kementerian Kerja Raya susulan aduan orang ramai sejak kebelakangan ini. – KOSMO! ONLINE














