SERDANG – Demi tanggungjawab terhadap kerjaya seni, pelakon Sharifah Sakinah sepakat dengan suaminya, Cyril Kongo untuk tinggal berjauhan buat sementara waktu sejak mendirikan rumah tangga hampir setahun.
Pemilik nama lengkap Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 36, itu berkata, perhubungan jarak jauh (PJJ) juga bukan satu isu memandangkan mereka saling memahami tuntutan kerja masing-masing.
“Suami saya sekarang berada di Jepun . Kami masing-masing bekerja secara bebas dan berkarya, jadi dia ada kerja dia dan saya ada kerja saya.
“Tetapi kami yakin suatu hari nanti kami akan tinggal sebumbung kerana masing-masing ada matlamat. Dalam berkarya ini, saya sentiasa fikir apa lagi yang mahu dicapai selepas ini.
“Suami saya pun sama, dia fikir apa lagi yang mahu dilukis selepas ini. Kami tidak akan berhenti kerana kami bukan sekadar bekerja, sebaliknya berkongsi mesej positif,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Tiket Sehala – Dibunuh atau Membunuh, baru-baru ini.
Menurut Sakinah, sokongan suami untuknya terus aktif berlakon termasuk menjalani penggambaran di luar negara adalah anugerah yang amat dihargai.
“Saya pernah beritahu suami mungkin perlu tinggalkan dia selama dua bulan kerana komitmen kerja. Itu satu anugerah apabila dia beri keizinan untuk saya terus bekerja.
“Bukan mudah untuk berjauhan lebih dua atau tiga bulan, tetapi dia memahami tuntutan kerjaya saya. Paling penting adalah kami saling percaya,” ujarnya.
Mengenai pengalaman menjalani penggambaran filem berkisar sindiket penipuan kerja di Korea Selatan, katanya paling mencabar adalah bekerja dalam suhu yang sangat sejuk.
“Saya berada di sana sekitar dua minggu sahaja pun sudah tidak tahan, pastinya rakan lain yang perlu menghabiskan penggambaran sebulan lebih terasa dengan kulit kering sehingga bibir menggelupas.
“Apa pun cabaran ini buatkan saya lagi teruja untuk beraksi. Ditambah pula dapat berlakon dengan bintang dari Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, semestinya ini pengalaman berharga.
“Jika selepas ini datang lagi tawaran penggambaran di lokasi sejuk, saya sudah bersedia,” katanya mengenai naskhah terbitan Key Billions Sdn. Bhd itu.
Filem arahan Rahila Ali yang mengambil inspirasi kisah benar turut membariskan K-Clique, Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Zaki Yamani, Hasnul Rahmat, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Fancy Goh dan Shaharudin Jamaludin.
Filem aksi itu dijadualkan berada di pawagam tanah air pada Ogos depan. – KOSMO! ONLINE














