fbpx
Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, pulangan dividen yang kompetitif boleh membantu meringankan beban kewangan pendeposit selain mempercepatkan impian ke Tanah Suci.

Ramai harap dividen Tabung Haji lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Selepas pengumuman dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.75 peratus dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 6.15 peratus, kini kira-kira 9.7 juta pendeposit Tabung Haji (TH) pula menanti penuh debar kadar agihan keuntungan yang bakal mereka peroleh.

Walaupun peranan utama TH lebih terarah kepada urusan persiapan serta pengurusan ibadah haji untuk jemaah dari negara ini, namun rasanya tidak kurang juga daripada masyarakat menjadikan TH sebagai sebuah badan pelaburan dengan harapan untuk meraih dividen yang baik.

Pelaburan di TH yang diyakini patuh syariah serta simpanan yang dibayarkan zakat secara automatik pada setiap tahun menjadikan ramai orang yang sensitif terhadap soal halal haram terdorong untuk menyimpan dengan badan tersebut.

Kerana itu, selain menyimpan untuk persiapan menunaikan ibadah haji, ramai juga mengharapkan dividen yang kompetitif atau setidak-tidaknya pulangan yang setara dengan institusi lain daripada simpanan mereka.

Jujurnya, ramai dalam kalangan pendeposit berharap kadar dividen kali ini lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya. Sudah tentu harapan itu disandarkan kepada keadaan ekonomi negara yang dilihat semakin stabil serta prestasi pasaran pelaburan yang menunjukkan perkembangan positif.

Peningkatan jumlah dividen bukan sahaja akan menjadi satu suntikan motivasi kepada pendeposit untuk terus menabung secara konsisten, malah akan turut menarik pendeposit baharu untuk membuka akaun dengan TH.

Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, pulangan dividen yang kompetitif boleh membantu meringankan beban kewangan pendeposit selain mempercepatkan impian ke Tanah Suci.

Dividen yang baik juga turut mencerminkan tahap tadbir urus yang cekap. Pendeposit bukan sahaja melihat kepada kadar peratusan semata-mata, tetapi juga kepada ketelusan dan kebertanggungjawaban pihak pengurusan dalam mengendalikan dana mereka.

Sekiranya kadar agihan yang diumumkan nanti lebih tinggi, ia pastinya memberi kesan psikologi yang positif kepada masyarakat serta mencetuskan gelombang keyakinan terhadap kemampuan TH mengurus pelaburan dengan baik.

Lebih daripada itu ia turut berpotensi menarik minat golongan muda untuk membuka akaun baharu. Generasi muda kini semakin celik kewangan dan lebih cenderung memilih instrumen simpanan yang patuh syariah serta memberi pulangan stabil dalam jangka panjang.

Ibu bapa pula mungkin turut terdorong membuka akaun untuk anak-anak seawal usia bayi. Keadaan ini kelak akan membantu memperkukuhkan kedudukan Tabung Haji sebagai salah satu institusi kewangan Islam yang kuat dan mungkin setanding dengan instrumen simpanan utama lain seperti ASB dan KWSP dari segi pulangan dan keselamatan dana.

Kita faham TH tidak beroperasi sepenuhnya seperti dana persaraan atau unit amanah biasa, namun prestasi dividen yang baik akan mengukir senyuman kepada pendeposit.

Apa pun kita berharap, jumlah agihan dividen TH kali akan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya. Setidak-tidaknya, hasil daripada agihan keuntungan yang lebih baik itu kelak boleh digunakan untuk membantu pendeposit menempuh kehidupan dengan lebih baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN