PETALING JAYA – Seorang pesakit kanak-kanak berusia 12 tahun yang menghidap kanser darah memerlukan sehingga 35 penderma darah bagi menyokong rawatan menggunakan komponen granulosit yang diperlukan setiap hari.
Menurut Pusat Darah Negara (PDN), pihaknya baru-baru ini menerima permintaan komponen darah tersebut daripada sebuah hospital kerajaan untuk rawatan pesakit berkenaan.
Katanya, pesakit itu memerlukan sekitar lima hingga tujuh beg komponen granulosit sehari bagi tempoh lima hari sebagai sebahagian daripada rawatan bagi membantu meningkatkan sistem pertahanan badan.
Granulosit merupakan salah satu jenis sel darah putih yang penting dalam membantu tubuh melawan jangkitan, khususnya bagi pesakit yang mempunyai jumlah sel darah putih sangat rendah akibat penyakit atau rawatan seperti kemoterapi.
“Lapisan granulosit yang dikenali sebagai Buffy Coat digunakan sebagai salah satu rawatan bagi pesakit yang mempunyai paras sel darah putih yang terlalu rendah sehingga boleh mengancam nyawa,” menurut PDN.
Komponen granulosit hanya boleh diperoleh daripada kutipan darah penderma darah utuh dengan isipadu kira-kira 450 mililiter bagi setiap pendermaan.
Darah yang dikumpulkan kemudiannya diproses menggunakan kaedah Platelet-Rich Plasma (PRP) melalui proses emparan bagi menghasilkan komponen granulosit.
“Komponen tersebut perlu diproses dan disimpan pada suhu antara 20 hingga 24 darjah Celsius bagi memastikan aktiviti sel berada pada tahap optimum.
“Granulosit yang dihasilkan juga perlu diberikan kepada pesakit dalam tempoh 24 jam selepas darah dikutip bagi memastikan rawatan transfusi itu berkesan,” katanya.
Sehubungan itu, PDN berkata seorang pesakit yang memerlukan lima hingga tujuh beg granulosit sehari memerlukan sekitar 25 hingga 35 penderma darah utuh bagi menyokong rawatan tersebut.
“Orang ramai digalakkan untuk terus menderma darah secara konsisten kerana setiap sumbangan darah mampu membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.
“Maklumat mengenai lokasi terkini pusat kutipan darah boleh diperoleh dengan melayari laman web rasmi www.pdn.gov.my,” katanya.
Sementara itu, dalam hantaran terkini PDN, paras stok darah jenis A dan O dilaporkan rendah dan memerlukan penderma dengan kadar yang segera. – KOSMO! ONLINE














