fbpx
Kei Nakatsuma (depan, kiri) pada majlis pemeteraian perjanjian kerjasama antara CAST dengan Marniq di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Usaha sama CAST, Marniq perkenal sensor pintar dalam industri minyak, gas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Syarikat pemula ‘Deep-Tech’ dari Jepun, CAST Inc. (CAST) telah bekerjasama dengan sebuah syarikat bumiputera, Marniq Bersatu (Marniq) untuk menawarkan penyelesaian komprehensif bagi memperkenal dan mengembangkan penggunaan sistem sensor pintar dalam sektor
minyak dan gas, kimia serta industri berisiko tinggi di Malaysia.

Kerjasama strategik ini dilihat sebagai langkah penting CAST dalam membangunkan
pasaran Malaysia, sejajar dengan rekod pencapaian syarikat itu di Jepun yang kini giat
melaksanakan pemasangan sistem di loji penapisan minyak dan kemudahan industri
berskala besar.

Presiden CAST Inc, Dr. Kei Nakatsuma berkata, memorandum persefahaman (MoU) selama
satu tahun itu, bermula hari ini dan ia akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek bukti
konsep (proof of concept) dengan membawa masuk sistem sensor CAST untuk dipasang
secara langsung di kilang-kilang sebenar di Malaysia.

“Melalui kerjasama ini, kami akan memperkenalkan sistem CAST kepada pelanggan
berpotensi, memasangnya di fasiliti industri terpilih dan mengumpul data operasi sebenar
bagi menilai bagaimana teknologi ini mampu menyokong keperluan pelanggan dari segi
keselamatan, kecekapan dan pengurusan risiko,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Data yang diperoleh daripada sistem berkenaan akan dianalisis bagi membangunkan sistem
pengurusan risiko berasaskan data, sekali gus membantu pengendali kilang membuat
keputusan yang lebih tepat dan proaktif.

Bagi Marniq pula, ia akan memainkan peranan penting sebagai rakan tempatan, khususnya dalam
aspek pemeriksaan, penskalaan projek dan sokongan teknikal, memandangkan kepakaran
syarikat itu dalam sektor minyak dan gas serta industri kimia di Malaysia.

Kerjasama ini turut menyasarkan industri minyak dan gas serta minyak sawit, dua sektor
utama di Malaysia yang mempunyai jumlah kilang berskala kecil dan sederhana yang besar,
namun berdepan isu serupa seperti keselamatan operasi, kos, sistem pemantauan dan
perisian.

“Banyak isu tempatan yang boleh diselesaikan melalui teknologi sensor dan sistem pintar
ini, termasuk pengesanan awal risiko, pemantauan berterusan dan pengoptimuman kos,”
jelas Nakatsuma.

Selain memenuhi keperluan pasaran tempatan, kerjasama CAST dan Marniq ini juga bertujuan untuk
menilai keupayaan sistem ini  menyokong operasi di peringkat tempatan dan global,
seiring usaha kerajaan Jepun menggalakkan syarikat teknologi negara itu mengembangkan
pasaran ke luar negara.

Usaha ini dijangka membuka lembaran baharu dalam penggunaan teknologi penderiaan termaju di Malaysia, sekali gus meningkatkan daya saing dan tahap keselamatan industri tempatan.

CAST yang diasaskan pada 2019 dan beribu pejabat di Kumamoto, Jepun, merupakan
peneraju dalam pembangunan, pembuatan dan pengkomersialan sistem sensor serta
teknologi penderiaan termaju untuk aplikasi industri.

Dengan misi Sensors Everywhere, CAST komited membawa pemantauan berterusan
berasaskan data ke dalam infrastruktur pembuatan kritikal, khususnya dalam industri paip,
minyak dan gas. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI