fbpx
Anwar diiringi Mohamad menghadiri Program Ihya Ramadan anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Wisma Tani, Putrajaya hari ini.

Konflik Asia Barat belum jejaskan keterjaminan makanan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini masih belum menjejaskan keterjaminan bekalan makanan negara berikutan kebanyakan sumber import makanan tidak melibatkan negara di rantau tersebut.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara negara utama yang terlibat dalam import makanan Malaysia ialah India, Pakistan, negara-negara ASEAN, Australia, New Zealand, Brazil serta Argentina.

“Di sebelah sana kita banyak terlibat dengan sektor eksport terutama sekali di Dubai, (tetapi) setakat ini kita belum terjejas apa-apa hal keterjaminan makanan.
“Buat masa ini barang-barang makanan terutama sekali (sumber) makanan utama tidak berapa terjejas kerana kawasan yang berkonflik ini terutama di negara Teluk ini tidaklah terlibat hal makanan secara besar-besaran bagi Malaysia,” katanya.

Mohamad berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas Program Ihya Ramadan anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Wisma Tani hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku kesan secara tidak langsung sekiranya konflik itu berlarutan dalam tempoh yang panjang.

“Tapi kita tidak tahu berapa lama konflik ini akan berlaku. Kalau ia berpanjangan dan bila berlaku kenaikan harga minyak, berkemungkinan berlaku kenaikan harga barangan import dan sebagainya,” katanya.

Ditanya sama ada kementerian mempunyai langkah mitigasi awal bagi menangani isu tersebut, Mohamad menjelaskan bahawa kerajaan memiliki pelan mitigasi dan langkah pengurusan krisis sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Daripada segi bekalan beras, kita memang ada stok penimbal yang mana kalau terjadi apa-apa, kita ada bekalan yang cukup untuk lima bulan.

“Tetapi kalau kita ambil stok dijual di kedai-kedai, campur (semua), cukup untuk tujuh bulan. Lain-lain kita memang ada langkah pengurusan krisis jika berlaku apa-apa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI