KLANG – Permintaan tinggi terhadap dapur gas sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri dipercayai mendorong pihak tertentu cuba menyeludup masuk peralatan tersebut tanpa permit import di Selangor.
Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor merampas 2,566 unit dapur gas dalam serbuan pada 12 Januari lalu di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara.
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, rampasan tersebut selepas menahan dan memeriksa sebuah kontena menerusi Ops Petasan.
“Hasil pemeriksaan ke atas kontena menemukan sejumlah komiditi gas stove (dapur gas) yang dipercayai tidak mempunyai permit import.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM135,117 manakala duti dan cukai yang terlibat berjumlah RM35,806,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kontena berkenaan tiba di Pelabuhan Klang pada 5 Januari lalu dan dagangan itu dipercayai diimport dari sebuah negara Asia.
Katanya, pihak terlibat membuat pengikraran ‘portable gas stove’ melalui Borang Kastam 1, namun gagal mengemukakan permit import yang diperlukan. – KOSMO! ONLINE














