NILAI – Polis berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang wanita senegara yang ditemui mati dengan kesan kelaran di leher di sebuah asrama pekerja di Jalan Nilai Universiti, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata suspek berusia 41 tahun itu diberkas kira-kira pukul 12.55 tengah malam, di tepi Jalan SP 3/9, Saujana Puchong, Selangor dalam satu operasi dijalankan sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Nilai.
“Tangkapan dibuat susulan siasatan berhubung penemuan mayat mangsa pada 1 Mac lalu.
“Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dengan mengelar leher mangsa menggunakan sebilah pisau.
“Suspek turut menunjukkan lokasi dia membuang senjata yang digunakan serta beberapa barangan milik mangsa,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, antara barangan dirampas ialah sebilah pisau boleh laras berwarna perak, sehelai baju hitam, sepasang selipar, sebuah telefon bimbit jenis Oppo dipercayai milik mangsa dan sebuah telefon bimbit jenis Redmi milik suspek.
“Motif kejadian disebabkan suspek berhutang berjumlah RM10, 000 dan mangsa mengugut suspek untuk menyebarkan gambar suspek dan teman wanitanya di laman media sosial sekiranya tidak membayar hutang sebanyak RM5, 500 pada hari kejadian,” katanya.
Ujar beliau, kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE














