fbpx
Dua lelaki ini antara ditahan PGA dalam serbuan operasi berasingan sekitar Selangor.

PGA tumpas sindiket rokok seludup, arak tak bercukai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah berjaya menumpaskan beberapa sindiket penyeludupan rokok, minuman keras tidak bercukai serta rampasan bahan letupan tidak berlesen menerusi beberapa operasi berasingan di Selangor.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, kejayaan itu dicapai menerusi pelaksanaan Op Taring Alpha 1, Op Taring Alpha 2, Op Taring Charlie dan Op Taring Delta yang dijalankan di beberapa lokasi termasuk Kajang, Shah Alam, Klang dan Sungai Buloh.

Menurutnya, dalam serbuan pertama Op Taring Alpha 1 pada 2 Mac lalu kira-kira pukul 7.28 malam di Kajang, dua lelaki melibatkan seorang rakyat tempatan dan seorang bukan warganegara ditahan.

“Turut dirampas pelbagai jenis rokok tidak bercukai, sebuah kenderaan lori serta telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM749,000,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua Op Taring Alpha 2 kira-kira pukul 9.05 pagi semalam di Shah Alam, tiga lelaki bukan warganegara ditahan.

Menurutnya, turut dirampas sejumlah minuman keras tidak bercukai pelbagai jenis serta telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.2 juta.

Dalam operasi lain menerusi Op Taring Charlie pada hari sama kira-kira pukul 4 petang di sekitar Klang, dua lelaki tempatan ditahan bersama rampasan bahan letupan tidak berlesen pelbagai jenis.

“Polis turut merampas sebuah lori dan telefon bimbit yang digunakan dalam aktiviti tersebut,” katanya.

Tambah beliau, dalam serbuan berasingan kira-kira pukul 10 malam, polis turut menahan seorang lelaki tempatan serta merampas bahan letupan tidak berlesen dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM458,000.

Sementara itu, melalui Op Taring Delta kira-kira pukul 6.30 pagi semalam di Sungai Buloh, pasukan Task Force Delta Briged Tengah PGA berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan migran.

“Hasil operasi tersebut, seramai 20 warga Indonesia berjaya ditahan membabitkan 14 lelaki dewasa, dua wanita dewasa serta empat lelaki yang berperanan sebagai tekong darat.

“Polis turut merampas dua kenderaan dan beberapa telefon bimbit dengan anggaran nilai rampasan RM224,000,” katanya.

Mengulas lanjut, Hakemal berkata sepanjang tempoh 1 Januari hingga 4 Mac 2026, sebanyak 89 serbuan telah dijalankan oleh Briged Tengah PGA di kawasan tanggungjawab meliputi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Sepanjang tempoh itu, seramai 287 individu berjaya ditahan dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM13 juta,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI