GEORGE TOWN – Ramai pasangan suami isteri bercerai selepas Aidilfitri, antaranya disebabkan tekanan membuat persediaan menyambut hari raya sehingga membawa kepada keganasan dalam rumah tangga.
Peguam sivil dan syarie merangkap Timbalan Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhammad Hariz Md. Yusoff berkata, pendaftaran perceraian di Mahkamah Syariah kadangkala mencatatkan peningkatan selepas raya.
Katanya, ia seolah-olah menjadi satu trend yang membimbangkan.
“Tekanan fizikal bukan ‘lesen’ untuk si suami bertindak kasar terhadap isteri. Alasan hilang pertimbangan akibat lapar, dahaga atau letih berpuasa tidak boleh diterima sebagai hujah pembelaan yang sah jika berlaku kes keganasan rumah tangga.
“Kegagalan mengawal emosi bukan satu justifikasi untuk melakukan serangan fizikal atau lisan terhadap pasangan. Apatah lagi undang-undang amat ketat dan tegas kepada keganasan terhadap pasangan serta ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurutnya, isu skandal atau godaan pihak ketiga turut menjadi punca keretakan rumah tangga termasuk di bulan Ramadan.
“Elakkan daripada melakukan maksiat kerana kemuliaan Ramadan sangat dititik berat, lebih-lebih lagi adanya malam lailatul qadar dan turunnya kitab suci al-Quran.
“Kita sepatutnya beri tumpuan kepada usaha menambah dan meningkatkan amalan,” katanya.
Menurutnya, pelaku dalam kes keganasan rumah tangga boleh dipenjara jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 kanun sama kerana mencederakan pasangan.
Katanya, masyarakat perlu cakna bahawa dalam konteks undang-undang keluarga Islam, kekerasan tidak terhad kepada kecederaan fizikal semata-mata.
“Penderaan emosi dan mental seperti caci maki, penghinaan keturunan atau tindakan memulaukan pasangan dalam tempoh yang lama boleh dikategorikan sebagai drarar syarie (kemudaratan syarie).
“Penderaan bentuk ini boleh menjadi asas kukuh bagi isteri untuk menuntut pembubaran perkahwinan melalui fasakh di mahkamah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat juga kecenderungan segelintir suami menyalahgunakan istilah ‘nusyuz’ (derhaka) sebagai tiket untuk menghukum isteri secara fizikal.
“Sebarang tindakan memukul yang mencederakan, meninggalkan kesan atau memalukan pasangan adalah haram dan merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan atau Akta Keganasan Rumah Tangga.
“Jika berlaku ancaman keselamatan, mahkamah boleh mengeluarkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) bagi menghalang si pelaku daripada menghampiri mangsa atau memasuki kediaman sendiri,” katanya.














