KUALA LUMPUR – Seorang wanita mendakwa ditumbuk dan diugut oleh seorang lelaki yang dikenali dalam kejadian di sebuah kondominium di Kampung Batu Muda, di sini minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 44 tahun kira-kira pukul 2.33 petang, Jumaat lalu.
Menurut beliau, kejadian pertama dilaporkan berlaku pada Khamis lalu, kira-kira pukul 11 malam ketika mangsa dan anak perempuannya berusia 10 bulan berada di bilik sewa mereka di kondominium berkenaan.
“Suspek yang merupakan lelaki dikenali mangsa didakwa menumbuk muka sebelah kiri mangsa selepas berang apabila bayi tersebut menangis.
“Akibat kejadian, mangsa mengalami bengkak dan lebam di bahagian muka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Basri berkata, pada keesokan harinya kira-kira pukul 11 pagi di lokasi sama, lelaki terbabit turut didakwa memaksa mangsa melakukan perbuatan seksual tanpa kerelaan.
“Akibat kejadian, mangsa mengalami sakit di bahagian muka sebelah kiri, belakang leher dan bahagian sulit.
“Mangsa juga diugut oleh suspek dengan berkata, ‘Jangan beritahu sesiapa, nanti kau tahu la nasib kau, aku boleh buat
apa-apa sahaja’ menyebabkan mangsa berasa terancam,” ujarnya.
Beliau berkata, mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan laporan perubatan mendapati tiada kesan kemasukan seperti yang didakwa mangsa.
Jelasnya, siasatan awal turut mendapati mangsa mengenali suspek sejak Januari lalu melalui kenalan.
“Hubungan mangsa dan suspek hanya dalam peringkat berkenalan dan tiada sebarang ikatan perkahwinan. Suspek dikatakan telah beberapa kali menumpang di bilik sewa rumah mangsa,” katanya.
Basri berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah.
“Usaha mengesan suspek masih diteruskan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Azwani Londing di talian 016-9882594, Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482222 atau balai polis berhampiran,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














