fbpx
Tangkap layar hantaran Nabilah dan rakannya yang ingin melepaskan bilik hotel di Mekah dan Madinah kepada jemaah terkandas yang memerlukan.

‘Lepaskan’ bilik hotel percuma bantu jemaah terkandas di Mekah, Madinah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita melepaskan tempahan dua bilik hotel di Mekah dan Madinah secara percuma kepada jemaah terkandas mengundang rasa sebak dalam kalangan pengguna media sosial.

Wanita dikenali sebagai Nabilah Rahim itu pada asalnya dijadualkan berangkat ke Tanah Suci bersama rakannya esok, namun mengambil keputusan menangguhkan perjalanan atas faktor keselamatan susulan konflik yang sedang bergolak di Timur Tengah.

Walaupun penerbangannya tidak dibatalkan, Nabilah memilih untuk tidak meneruskan perjalanan selepas mengambil kira nasihat keluarga.

“Mulanya memang sedih sebab tak dapat pergi, tapi tak mengapa. Ada rezeki lain akan datang.

“Bila tengok ramai yang terkandas dan perlukan tempat tinggal, jadi kami lepaskan sahaja bilik itu untuk jemaah yang berada di sana. Tak dapat pergi, dapat bagi bilik-bilik ini pada jemaah yang memerlukan pun dah cukup gembira,” katanya kepada Kosmo!

Menurutnya, kedua-dua bilik hotel berkenaan kini telah penuh selepas ditawarkan kepada jemaah terkandas yang lebih memerlukan.

“Alhamdulillah, pagi tadi sudah ada jemaah terkandas yang duduk. Mereka sangat gembira sebab tak tahu bila boleh terbang balik. Ada juga yang berdepan kekangan kewangan kerana hanya membawa wang secukupnya,” ujarnya.

Sebelum itu, Nabilah yang juga merupakan Peguam Syarie di Tetuan Nabilah Rahim & Associates memuat naik tawaran melepaskan bilik hotel tersebut secara percuma bagi tempoh 3 hingga 6 Mac di Mekah dan 6 hingga 8 Mac di Madinah.

Di Mekah, bilik berkapasiti lima orang terletak kira-kira 2.45 kilometer dari Masjidil Haram dengan kemudahan bas ulang-alik persendirian ke masjid manakala di Madinah, bilik untuk dua orang terletak sekitar 700 meter dari Masjid Nabawi.

Perkongsian itu turut menerima pelbagai reaksi positif di media sosial dengan rata-rata memuji keikhlasan dan kemurahan hati wanita itu dan rakannya dalam membantu jemaah terkandas di Tanah Suci.

“Semoga digantikan dengan lebih baik!,” komen Hawaariy.

“Masih ada ke saya terkandas dengan isteri, semoga dimurahkan rezeki sentiasa,” komen Luqman pula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN