fbpx
DIANGGARKAN sebanyak 10 juta panel dipasang bagi menjana tenaga solar di MBR Solar Park yang turut menguasakan stesen Air Waqf yang mampu menukar udara menjadi air minuman bersih.

Taman solar terbesar dunia, ada stesen tukar udara jadi air minuman!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUBAI, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pernah dikenali sebagai sebuah bandar pelabuhan kecil di Teluk Arab. Namun kini, Dubai muncul antara bandar ikonik dunia, hasil transformasi pesat berteraskan visi jangka panjang dan inovasi yang berani.

Transformasi tersebut membolehkan UAE terkenal di seluruh dunia, bukan hanya kerana keunikan seni bina futuristik, malah pembangunannya yang mampan.

Ini secara tidak langsung menonjolkan negara tersebut sebagai hab global dalam sektor pelancongan, kewangan, teknologi dan tenaga lestari.

Sementara itu, dalam usaha memperkukuhkan kedudukan UAE sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui, Dubai memperluaskan sistem penyimpanan tenaga di Taman Solar Mohammed bin Rashid Al Maktoum (MBR Solar Park) kepada fasa ketujuh, sekali gus diiktiraf sebagai taman solar terbesar di dunia.

Langkah itu selari dengan komitmen Dubai untuk memastikan bekalan tenaga bersih yang stabil dan berterusan, biarpun ketika pengeluaran tenaga solar berkurangan.

Teknologi tersebut memberi tumpuan kepada integrasi penyimpanan tenaga berskala besar, khususnya dalam sistem bateri bagi menyokong operasi loji solar pada waktu malam atau ketika cuaca mendung.

Sasaran awal MBR Solar Park adalah 1,000 megawatt (MW) tenaga solar, sebelum ditingkatkan kepada 1,400 MV.

Memasuki fasa ketujuh, taman itu dijangka menghasilkan 2,000 MW ke dalam rangkaian tenaga negara berkenaan.

Fasa ketujuh juga merupakan pemacu utama dalam meningkatkan sasaran kapasiti total tenaga solar Dubai kepada lebih 8,000 MW menjelang tahun 2030.

Sistem itu juga mampu menghasilkan 8,400 MW perjam (MWh) tenaga elektrik bersih yang disimpan (berdasarkan sistem bateri enam jam), sekali gus menjadikannya antara projek storan terbesar di dunia.

Bukan sahaja meningkatkan kecekapan grid tenaga, malah langkah itu dapat membantu mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga fosil.

Memetik laporan PV Magazine International, fasa ketujuh projek itu mencerminkan perubahan strategi tenaga UAE. Kini, negara itu tidak hanya menumpukan kepada kapasiti penjanaan solar, sebaliknya kebolehpercayaan terhadap daya tahan sistem tenaga.

Penyimpanan tenaga dianggap sebagai elemen kritikal bagi menyokong sasaran jangka panjang Dubai dalam peralihan kepada tenaga hijau dan pengurangan pelepasan karbon.

Oleh itu, penambahan ruang penyimpanan tenaga di taman solar mega terbabit mampu menjadikan ekosistem tenaga UAE lebih berdaya saing berbanding negara-negara lain.

Usaha itu dapat mengukuhkan reputasi Dubai sebagai model pembangunan bandar masa depan yang menggabungkan inovasi teknologi, kelestarian alam sekitar dan keselamatan tenaga.

Ketua Pegawai Eksekutif Dubai Electricity & Water Authority (DEWA), Saeed Mohammad Al Tayer berkata, taman solar itu merupakan asas kepada Strategi Tenaga Bersih Dubai 2050 dan Strategi Pelepasan Karbon Sifar Bersih Dubai 2050.

Kedua-dua strategi itu menetapkan sasaran untuk menyediakan 100 peratus kuasa elektrik UAE daripada sumber bersih menjelang 2050.

“Sasaran sumbangan tenaga boleh diperbaharui di Dubai diharap meningkat kepada 36 peratus menjelang 2030 berbanding sasaran asal 25 peratus.

“Setelah projek ini berjaya mencapai sasaran (2030), ia bakal mengurangkan lebih daripada 8.5 juta tan pelepasan karbon setiap tahun,” katanya.

Di dalam laman web rasmi DEWA, kerajaan Dubai menyifatkan MBR Solar Park sebagai antara projek tenaga boleh diperbaharui paling berimpak tinggi, sekali gus menjadi tonggak utama transformasi tenaga bersih di bandar berkenaan.

Terletak di Seih Al-Dahal iaitu kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar Dubai, MBR Solar Park dibangunkan secara berfasa sejak pelancarannya pada 2012.

“Dibangunkan secara berperingkat, kami menyasarkan taman solar ini mampu mencapai kapasiti maksimumnya menjelang tahun 2030.

“Apabila itu berlaku, MBR Solar Park akan menjadi antara loji tenaga solar terbesar di dunia di satu lokasi,” jelas DEWA.

Skala pembangunannya bukan sahaja menonjol dari segi kapasiti, malah kepelbagaian teknologi tenaga solar yang digunakan.

Antara teknologi utama yang diterapkan termasuk fotovolta (PV) dan solar concentrated power (CSP).

Menerusi gabungan kedua-dua teknologi itu, proses penjanaan tenaga dapat dibuat dengan lebih fleksibel dan berkesan.

Ini termasuk keupayaan menghasilkan tenaga selepas matahari terbenam.

Teknologi CSP memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga pada waktu malam melalui sistem penyimpanan haba, sekali gus meningkatkan kestabilan bekalan elektrik.

“Inisiatif ini membuktikan kesungguhan Dubai dalam memerangi perubahan iklim dan menyelaraskan pembangunan bandar dengan matlamat alam sekitar global.

“Pengurangan pelepasan karbon ini turut membantu meningkatkan kualiti udara dan menyokong persekitaran hidup yang lebih sihat untuk penduduk Dubai,” kata laman rasmi berkenaan.
MBR Solar Park bukan sekadar loji penjanaan tenaga, malah berfungsi sebagai hab inovasi dan penyelidikan.

Taman itu juga menyokong pembangunan teknologi baharu, termasuk penyimpanan tenaga dan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan grid serta penyelesaian tenaga pintar.

Usaha berkenaan dilihat dapat membantu mempercepatkan pemindahan teknologi dan pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang tenaga bersih.

Langkah tersebut bukan saja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah menjadikan tahap ekonomi lebih dinamik.

Sementara itu, dianggarkan lebih 10 juta panel solar telah dipasang di atas tanah berkeluasan kira-kira 77 kilometer persegi.

Terdapat juga sebuah menara setinggi 263.13 meter yang menjadi mercu tanda, dan nadi kepada teknologi CSP.

Menara itu berperanan sebagai pemerangkap haba gergasi serta penyimpanan tenaga daripada beribu-ribu cermin khas (heliostats).

Cermin khas itu berperanan memantul dan memfokuskan cahaya matahari ke satu titik di puncak menara yang dipanggil penerima (receiver).

Teknologi itu membolehkan penyimpanan tenaga haba sehingga 15 jam, dan menjadi antara sistem penyimpanan tenaga bersih paling efisien di dunia.

Menara itu juga telah mendapat pengiktirafan daripada Guinness World Records sebagai menara solar tertinggi di dunia.

Menariknya, tenaga janaan solar dari MBR Solar Park akan digunakan oleh Loji Penyahgaraman Air Laut Hassyan (Hassyan SWRO) untuk memproses air bersih.

Loji air itu dianggap sebagai loji penyahgaraman berkuasa solar terbesar dunia dengan menggunakan tenaga elektrik.

Dianggarkan kapasiti loji Hassyan SWRO boleh mencecah 180 juta gelen imperial atau 818,000 meter padu sehari yang mampu membekalkan air kepada 2 juta orang.

Loji Hassyan SWRO juga memegang rekod dunia dengan penggunaan tenaga terendah iaitu hanya 2.9 kWj bagi setiap meter padu air dihasilkan.

Difahamkan, loji tersebut dalam fasa akhir pembinaan dan dijangka memulakan operasi sepenuhnya dalam tempoh masa terdekat. Satu lagi teknologi yang mendapat manfaat daripada tenaga solar tersebut ialah Stesen Air Waqf.

Menariknya, Stesen Air Waqf menggunakan teknologi Ma Hawa (Mahwa) atau Penjana Air Atmosfera (AWG) untuk menyedut kelembapan dari udara, sebelum menukarkannya menjadi air minuman bersih.

Tanpa memerlukan rangkaian paip atau infrastruktur air tradisional, stesen yang menggunakan tenaga solar sepenuhnya itu akan ditempatkan di kawasan terpencil, lebuh raya dan masjid.

Projek berkenaan dibina hasil kerjasama antara Yayasan Awqaf dan Pengurusan Dana Kanak-kanak (Awqaf Dubai) dengan syarikat Bainuna Water Generation Technologi (Ma Hawa).

Secara keseluruhannya, kedua-dua projek itu merupakan sebahagian daripada usaha Dubai untuk menggunakan tenaga solar sepenuhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN