PENGGUNAAN kamera badan atau body-worn camera (BWC) semakin menjadi komponen penting dalam sistem penguatkuasaan undang-undang moden.
Berdasarkan laporan dan analisis oleh PBS NewsHour, kamera badan dilihat sebagai antara instrumen utama dalam agenda reformasi kepolisan, khususnya dalam meningkatkan ketelusan, dokumentasi bukti dan akauntabiliti pegawai ketika berinteraksi dengan orang awam.
Namun, untuk memahami manfaatnya secara menyeluruh, penting untuk meneliti bagaimana mekanisme kamera badan berfungsi serta bagaimana sistem pengurusannya menyokong matlamat tersebut.
Secara teknikal, kamera badan ialah peranti rakaman video bersaiz kecil yang dipasang pada uniform pegawai dan kebiasaannya di bahagian dada atau bahu.
Menurut Penolong Profesor Hal Ehwal Awam di Universiti Negeri Ohio, Amerika Syarikat, Andrea Headley, peranti ini digunakan bagi merakam interaksi secara sudut pandang pegawai.
“Kamera ini dilengkapi mikrofon sensitif bagi merakam audio perbualan, sistem penandaan masa (timestamp) serta ciri storan digital yang membolehkan rakaman dimuat naik ke pelayan pusat atau storan awan yang selamat selepas tamat syif.
“Kebanyakan sistem moden turut mempunyai fungsi pengaktifan automatik, contohnya apabila pegawai mengeluarkan senjata api atau apabila lampu kenderaan peronda dihidupkan,” katanya di dalam laporan analisis tersebut.
Tambahnya, mekanisme ini bertujuan mengurangkan risiko pegawai terlupa atau sengaja tidak mengaktifkan kamera ketika situasi kritikal.
Dari sudut pengurusan data, rakaman biasanya dimuat naik ke pangkalan data berpusat yang dikawal oleh protokol keselamatan ketat.
Setiap fail video direkodkan bersama metadata seperti tarikh, masa, lokasi dan identiti pegawai.
Akses terhadap rakaman pula dikawal melalui sistem log yang merekodkan siapa yang menonton, menyalin atau memuat turun video tersebut.

“Mekanisme ini penting bagi memastikan integriti bukti terpelihara dan mengelakkan manipulasi kandungan.
“Tempoh penyimpanan pula ditetapkan berdasarkan polisi jabatan, rakaman rutin mungkin disimpan selama beberapa bulan, manakala rakaman berkaitan siasatan jenayah boleh disimpan bertahun-tahun sehingga kes selesai,” ujar Headley.
Katanya lagi, manfaat utama kamera badan terletak pada peningkatan akauntabiliti dua hala, bukan sahaja terhadap pegawai polis, malah terhadap orang awam.
Rakaman visual yang objektif membantu menjelaskan kronologi sesuatu kejadian secara lebih tepat berbanding laporan bertulis semata-mata.
Dalam situasi pertikaian, video boleh menjadi rujukan utama untuk menentukan sama ada prosedur operasi standard dipatuhi. Ini sekali gus, mengurangkan spekulasi dan persepsi berat sebelah dalam masyarakat.
Selain itu, kewujudan kamera badan juga mempunyai kesan psikologi yang signifikan. Menurut laporan yang dirujuk oleh PBS NewsHour, beberapa kajian awal menunjukkan bahawa apabila kedua-dua pihak menyedari interaksi mereka dirakam, kecenderungan untuk bertindak agresif atau tidak profesional boleh berkurangan.
“Pegawai cenderung lebih berhati-hati dalam penggunaan bahasa dan kekerasan, manakala orang awam juga lebih berdisiplin ketika berurusan dengan pihak berkuasa.
“Walaupun dapatan kajian berbeza mengikut lokasi dan dasar jabatan, elemen pencegahan ini tetap dianggap sebagai salah satu manfaat penting,” kongsinya.
Ujar Headley lagi, dari sudut perundangan, kamera badan memperkukuh proses siasatan dan pendakwaan.
Rakaman boleh membantu pendakwa raya membina kes yang lebih kukuh dengan bukti visual yang menyokong keterangan saksi.
Pada masa yang sama, ia juga melindungi pegawai daripada tuduhan palsu kerana setiap tindakan dapat disemak secara telus.
Dalam konteks ini, kamera badan bukan sekadar alat pemantauan tetapi juga instrumen perlindungan profesional.
“Namun, keberkesanan kamera badan sangat bergantung kepada polisi pelaksanaan yang jelas. Tanpa garis panduan tegas tentang bila rakaman wajib diaktifkan, bagaimana akses diberikan dan bagaimana ketelusan kepada awam dilaksanakan, manfaatnya boleh terjejas.
“Oleh itu, mekanisme pengawasan bebas dan audit berkala amat penting bagi memastikan sistem ini benar-benar menyumbang kepada reformasi institusi, bukan sekadar simbolik,” jelasnya.
Kongsinya lagi, dalam era tuntutan masyarakat terhadap integriti dan profesionalisme yang lebih tinggi, kamera badan dilihat sebagai salah satu inovasi praktikal yang mampu menyokong perubahan positif dalam landskap penguatkuasaan undang-undang moden.














