RAMADAN datang lagi, namun kehadiran bulan istimewa itu kali ini membawa memori sayu kepada pelakon, Keith Foo yang terkenang momen menjaga mendiang bapanya di hospital tahun lalu.
Bapanya, Foo Kia Suan sebelum itu patah kaki dan menjalani pembedahan tetapi berdepan jangkitan kuman yang perlu dimasukkan ke wad hospital.
Sepanjang tempoh rawatan, Keith bersama ibu dan ahli keluarga lain bergilir menjaga insan kesayangan mereka di hospital. Keith atau Foo Chuan Chin, 43, berkata, sepanjang tempoh tersebut, kekasihnya juga pelakon, Riena Diana turut setia di sisi menemani serta memberikan sokongan moral.
Bakti
Namun, bapanya menghembuskan nafas terakhir pada Mac tahun lalu, juga pada bulan Ramadan berikutan jangkitan kuman pada paru-paru.
“Tahun lalu, saya jaga ayah di hospital bersama Riena sambil berpuasa. Tidak lama kemudian, bapa meninggal dunia dalam bulan Ramadan juga.
“Kalau teringat memang sedih tetapi ini semua takdir. Dapat menjaga insan yang kita sayang pada akhir hayatnya sebagai bakti buat orang tua kita.
“Sedikit sebanyak kehadiran Ramadan kali ini turut menjentik hati saya apabila teringat kenangan di hospital serta momen kami bersama mengharungi waktu sukar itu seisi keluarga,” ujarnya.
Menurut pelakon drama Ariana Rose itu, tahun lalu dia tidak dapat berpuasa penuh berikutan beberapa kekangan, namun cuba untuk berbuat demikian kali ini.
Lelaki berdarah campuran Cina dan India itu mengakui amalan puasa bukan asing kepadanya memandangkan beberapa adik-beradiknya merupakan mualaf.
Bagi Keith, menahan diri daripada makan dan minum selain melakukan amalan baik disifatkan sebagai ruang untuk menjadi insan yang lebih baik.
“Saya sudah lama belajar berpuasa.Amalan ini juga merupakan disiplin yang cukup bermakna, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, malah kita dapat memperbaiki diri.
“Jika terdapat kelemahan atau kekurangan, kita cuba ditambah untuk jadi lebih baik. Puasa bukan sekadar menahan lapar. Ini juga ‘self-cleansing’ dari segi mental dan fizikal.
“Saya bertuah punya teman seperti Riena yang banyak beri tunjuk ajar selain bagi dorongan dalam apa jua situasi,” katanya.
Temankan kekasih ke masjid
Pada masa sama, bapa tunggal anak satu itu juga menyatakan tetap menemani kekasihnya ke masjid untuk solat tarawih sekiranya mempunyai waktu terluang seperti Ramadan lalu.
Begitupun, dia lebih selesa tidak menyentuh mengenai dakwaan sudah masuk Islam yang diperkatakan sebilangan individu, baru-baru ini.
“Kita tengok nanti, saya tiada masalah temani Riena ke masjid sebab perkara itu sudah jadi rutin sejak kami akrab beberapa tahun lalu.
“Tentang ada desas-desus saya sudah menganut agama Islam, itu bagi saya terlalu peribadi dan tak perlu diumumkan. Tunggu saja hujung tahun ini,” ulasnya.
Masih ligat bekerja, tambah Keith musim puasa tahun ini tetap dipenuhi dengan jadual kerja bagi penggambaran projek drama terbaharu.
“Penggambaran sudah bermula pada 20 Februari lalu untuk slot Akasia. Harapnya, penggambaran dapat diselesaikan lebih awal supaya kami dapat meluangkan masa bersama-sama.
“Dapatlah saya hantar dia ke masjid. Saya pun agak sibuk kerana menjalani penggambaran drama bersiri 28 episod,” katanya.














