ALOR SETAR – Bermula sekadar memenuhi tempahan kecil daripada pelanggan bagi beberapa penganjuran majlis di sekitar daerah ini, pengasas kedai bunga, Bloomieja D’Florist (Bloomieja), Shariza Nadzri tidak menyangka usahanya itu membolehkan perniagaannya terus berkembang hingga ke peringkat sekarang.
Usahawan yang meminati bidang seni gubahan sejak kecil sering mendapat tempahan daripada pelanggan khususnya daripada ibu bapa dan guru untuk pelbagai program seperti hari guru.
Bermula di situ, daripada hasil seni gubahan bunga yang kreatif, kemas dan dijual pada harga berpatutan, anak kelahiran Alor Setar itu terus menerima tempahan melalui hebahan percuma daripada mulut ke mulut dalam kalangan pelanggannya.
Bersandarkan kepada keyakinan dan sokongan tersebut, Shariza yang ketika mengoperasikan perniagaannya hanya dari rumah pada tahun 2019 mula serius untuk mengembangkan bisnes berpotensi itu.
“Sepanjang tempoh itu sehingga ke hari ini, pelbagai cabaran terpaksa ditempuh termasuk kekangan masa dan kesukaran menghantar gubahan bunga kepada pelanggan kerana perlu menguruskan seorang anak autistik.

“Seiring peredaran masa, anak bongsu saya itu semakin membesar dan dia lebih mudah diuruskan, sekali gus membolehkan saya kembali aktif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Sempena Pembukaan Bloomieja D’Florist di Arked Mara Kuala Kedah, dekat sini baru-baru ini.
Ibu kepada lima anak itu berkata, tempahan dalam jumlah besar oleh sebuah agensi kerajaan menjadi pembakar semangat untuknya terus memajukan perniagaan tersebut.
“Walaupun mereka menempah gubahan bunga dengan bajet RM10 seunit, ia memberi kepuasan dan keyakinan kepada saya untuk mengembangkan perniagaan ini dengan lebih serius,” katanya.
Berdepan cabaran kekalutan memenuhi permintaan yang semakin bertambah, beliau tidak berseorangan menjalankan perniagaanya itu kerana turut dibantu tiga anak perempuan iaitu Siti Nor Hidayah Zukri, 28; Siti Nur Fatihah, 24; dan Siti Nur Fifi Ashiqin, 21.
“Merekalah yang banyak membantu daripada segi promosi, khususnya melalui media sosial. Mereka lebih faham dunia kandungan digital, jadi mereka uruskan untuk promosikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan di platform media sosial seperti TikTok,” katanya.
Mengulas mengenai kedai fizikal yang berada di lokasi strategik di kawasan tersebut, Shariza menerangkan, pembukaan kedai fizikal tersebut menawarkan pelbagai gubahan bunga dan door gift untuk pelbagai sambutan termasuk hari lahir, konvokesyen, hadiah kejutan, majlis pertunangan, perkahwinan dan acara korporat.
“Harga pakej yang ditawarkan bermula serendah RM10 sehingga mencecah ratusan ringgit, bergantung kepada jenis gubahan dan bajet pelanggan,” ujarnya.
Menurut beliau, selain bunga hiasan biasa, Bloomieja turut menawarkan bunga kawat bulu, bunga kait benang, bunga sabun dan bunga segar, mengikut kehendak pelanggan.
“Gubahan bunga ini biasanya digabungkan dengan coklat dan bear bouquet yang comel, malah saya pernah menerima tempahan pelik seperti gubahan menggunakan spanar, pek rempah ratus dan ubat-ubatan,” katanya.

Tambah Shariza, pembukaan kedai itu merupakan langkah awal untuk memperkukuhkan jenamanya dalam industri gubahan bunga dan hadiah, seterusnya memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Jelasnya, gubahan bunga boleh dijadikan tanda ucapan terima kasih, penghargaan dan juga sebagai perantaraan untuk rasa kasih sayang dan juga permintaan maaf kepada seseorang.
Disebabkan itu, gubahan yang dihasilkan oleh Shariza penting untuk memenuhi hasrat hati pelanggan.
“Kami bukan sekadar menjual bunga, tetapi membina pengalaman hadiah yang memberi nilai emosi kepada pelanggan,” katanya.
Mengulas mengenai perancangan terbaharunya, syarikat bakal memperkenalkan flower bar sebagai satu pengalaman interaktif kepada pelanggan dalam majlis perkahwinan dan acara rasmi, sejajar dengan trend semasa industri.
Menurut beliau, syarikat juga membuka peluang keusahawanan kepada pelajar universiti melalui model pemborongan dan ‘reseller’, khususnya bagi pasaran konvokesyen yang mempunyai permintaan tinggi.
Selain itu, syarikat turut menjalin kerjasama strategik dengan rakan niaga seperti kedai bakeri untuk menempatkan produk Bloomieja di premis mereka, sekali gus mewujudkan ekosistem perniagaan yang saling menyokong.
Shariza juga memiliki impian untuk memperbesarkan lagi perniagaan sebagai pusat pemborong bunga dan hadiah pada masa depan. -KOSMO! ONLINE














