fbpx
Media rasmi Iran sahkan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei terkorban dalam serangan udara yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel. - Foto AFP

Anwar kutuk pembunuhan Khamenei, Asia Barat di ambang krisis besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, sambil menyifatkan tindakan tersebut meletakkan Asia Barat di ambang ketidakstabilan yang serius dan berpanjangan.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia mengecam tanpa sebarang pengecualian tindakan tersebut dan menyampaikan ucapan takziah kepada Republik Islam Iran serta seluruh rakyatnya.

Anwar berkata, pihak yang menyambut kematian itu dengan rasa puas hati perlu menyedari implikasi besar yang bakal tercetus susulan tindakan sedemikian.

“Ancaman berbentuk eksistensial jarang sekali menghasilkan reaksi yang boleh dijangka.

“Tindakan menyasarkan seorang ketua negara secara sengaja mencipta duluan berbahaya serta melemahkan norma dan prinsip yang menjadi tunjang kepada aturan antarabangsa,” katanya dalam hantaran di Facebook, sebentar tadi.

Dalam masa sama, Anwar menggesa pihak berkuasa Iran supaya bertindak dengan penuh kawalan dan tidak mengambil langkah yang boleh mencetuskan ketegangan lebih besar.

Tambahnya, Malaysia turut menyokong kenyataan negara-negara yang menyeru semua pihak supaya berundur daripada sebarang tindakan yang boleh meningkatkan lagi konflik.

Anwar menegaskan, keutamaan beliau ketika ini adalah kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Iran, negara-negara Teluk serta seluruh rantau Asia Barat.

“Kerajaan sedang mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan perlindungan mereka. Semua Perwakilan Malaysia telah diberikan mandat dan sumber sepenuhnya untuk membantu rakyat kita di kawasan terjejas,” jelasnya.

Mengulas kesan ekonomi, beliau berkata, kerajaan akan menilai secara segera implikasi konflik tersebut termasuk risiko terhadap ruang udara serantau dan kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz.

Sehubungan itu, Anwar sekali lagi dengan pendirian menegaskan Malaysia menggesa gencatan senjata serta-merta termasuklah perlindungan ke atas orang awam.

“Krisis ini tidak boleh diselesaikan melalui kekerasan. Ia memerlukan diplomasi, kawalan diri dan iltizam politik,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN