fbpx
Saifuddin (tengah) bergambar bersama sembilan ahli keluarga selepas menyampaikan sijil kelahiran dan MyKad kepada keluarga berkenaan menerusi Program Mekar di Kampung Simpul Berlubang, Machang semalam. – KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Tiada kawan sejak kecil kerana dianggap warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MACHANG – Impian sembilan sekeluarga daripada dua generasi di Kampung Simpul Berlubang di sini untuk menikmati kehidupan sebagai warganegara Malaysia akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka memperoleh sijil kelahiran dan MyKad semalam.

Lebih bermakna lagi apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hadir untuk menyerahkan dokumen tersebut kepada Fauziah Muhamad, 32, bersama empat beradiknya iaitu Mohd. Lazim, 37, Suhaimi, 39, Asliza, 41, dan Norafidah, 44.

Selain itu, empat anak Fauziah iaitu Wahida Abdullah, 18, Mohd. Asyraf, 16, Mohd. Adam Danial, 13, dan Siti Aisyah, 7, turut me­nerima dokumen pengenalan diri.

Fauziah yang merupakan ibu tunggal berkata, lima daripada tujuh adik-beradiknya tidak mempunyai sijil kelahiran dan MyKad kerana arwah bapa mereka, Mohamad Che Hussin dan ibu, Wan Zaharah Senik tidak pernah membuat dokumen tersebut sejak lahir.

Katanya, keadaan bertambah rumit apabila ibu ba­panya me­ninggal dunia lebih 10 tahun lalu menyebabkan mereka terpaksa menangguhkan urusan mendaftar dokumen pengenalan diri.

“Kami lima beradik dan empat anak saya tidak bersekolah kerana tiada dokumen sah. Saya pula berkahwin dengan warga asing menyebabkan anak-anak sukar untuk mendaftar kelahiran.

“Kami memang dilahirkan di sini, namun banyak perkara yang tidak dapat dinikmati sebagai rakyat Malaysia kerana tiada dokumen pengenalan diri.

“Selain tidak boleh bersekolah, saya juga terpaksa mengeluarkan wang lebih untuk membayar kos bersalin kelima-lima anak di hospital kerajaan,” kata­nya ketika ditemui pada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di Kampung Simpul Berlubang di sini semalam.

Fauziah berkata, dia bersama abang dan kakaknya se­ring digelar warga asing oleh masyarakat yang mengetahui mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Segalanya berubah semasa saya dan dua anak merantau untuk mencari pekerjaan ke Shah Alam, Selangor awal bulan lalu apabila kami bertemu dengan seorang wanita yang kemudian berusaha membantu membawa berjumpa dengan Abe Hae daripada badan bukan kerajaan, Pertubuhan Jejak Jalanan.

“Pertemuan dengan Abe Hae itu terus mengubah hidup kami apabila beliau membawa kami ke Program Jabatan Pendaftaran Negara di Chow Kit, Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, dengan MyKad yang diterimanya, dia akan menggunakan kelebihan sebagai rakyat Malaysia untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan, mendaftar sebagai penerima Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dan Budi Madani RON95 (Budi95).

Sementara itu, Suhana Wahida berkata, dia yang bekerja di kedai makan di Besut, Terengganu tidak mempunyai rakan baik sejak kecil kerana statusnya yang dianggap seperti warga asing.

“Dengan adanya MyKad ini, saya mahu hidup seperti orang lain. Tidak mahu lagi rasa ter­pinggir walaupun saya memang dilahirkan di sini,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 memperuntukkan kelahiran perlu didaftarkan dalam masa 60 hari, manakala di Sabah dan Sarawak pula dalam tempoh 42 hari.

“Bagi kes yang dihadapi oleh sembilan sekeluarga daripada dua generasi ini, ia sudah bertahun-tahun.

“Kita cari faktor utama dalam kes itu dan memberi layanan istimewa kepada mereka apabila sudah mengetahui punca masalah yang dihadapi. Jadi, kita beri pengecualian daripada sebarang denda kepada mereka,” katanya.

Dalam majlis berasingan di Bachok, Saifuddin berkata, lebih 1,500 daripada 6,000 klien yang ditempatkan di 30 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di seluruh negara datang secara sukarela untuk menjalani pemulihan dadah di pusat tersebut.

Beliau berkata, klien yang datang secara sukarela ke Puspen tidak akan mempunyai sebarang rekod jenayah selepas tempoh dua tahun menjalani tempoh pemulihan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN