MACHANG – Insiden tembakan yang menyasarkan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir pada Rabu lalu berkemungkinan berpunca daripada dendam dan penguatkuasaan ketat di sempadan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, punca tersebut masih dalam siasatan selepas sembilan individu termasuk seorang wanita warga Thailand ditahan berhubung kes tersebut.
Menurutnya, selain itu, pihaknya juga sedang melihat sama ada kesemua suspek yang ditahan terlibat dengan kegiatan penyeludupan, jenayah rentas sempadan dan penyeludupan manusia.
“Kita akan lihat sama dendam atau tindak balas terhadap langkah penguatkuasaan yang lebih ketat menjadi faktor kejadian tersebut.
“Siasatan dan hala tuju kes ini masih dalam fasa penetapan (establish). Siasatan sama ada kesemua suspek yang ditaha itu berada dalam satu kumpulan atau terlibat jenayah terancam juga masih dijalankan,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Jabatan Pendaftaran Negara di Kampung Simpul Berlubang, Machang di sini hari ini.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, dua lagi lelaki tempatan berusia 51 dan 58 tahun ditahan di sekitar kawasan ini susulan insiden tembakan yang menyasarkan komander sempadan Bukit Kayu Hitam pada Rabu lalu.
Saifuddin Nasution Ismail berkata, tangkapan ke atas suspek dibuat hasil siasatan termasuk pemprofilan berdasarkan gambaran diberikan Mohd. Nasaruddin.
“Apabila kita memulakan siasatan awal, pihak polis memaklumkan kepada saya dua nama ini ditimbulkan oleh komander yang rasa diekori sejak kebelakangan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














