KUALA LANGAT – Seorang pemandu lori kontena berusia 50-an menemui ajal selepas terlibat dalam kemalangan lima kenderaan termasuk treler di Kilometer 13 Jalan Bukit Changgang-KLIA di sini kira-kira pukul 10.05 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu mangsa hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah treler yang berhenti di simpang lampu isyarat menyebabkan dia tersepit dan meninggal dunia di tempatan kejadian.
“Akibat perlanggaran itu, treler berkenaan bergerak ke depan dan melanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV. SUV itu kemudiannya melanggar Toyota Vios dan kemalangan turut melibatkan sebuah kereta Cherry. Kemalangan itu turut mengakibatkan pemandu treler dan CRV masing-masing cedera di dada dan kaki,” katanya petang ini.
Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Sohairi Manaf di talian 019-9993077 atau 03-31872222. – KOSMO! ONLINE














