PETALING JAYA – Di sebalik penampilan luaran memakai baju-T kumpulan dengan genre hard rock, Avenged Sevenfold, siapa sangka Ahmad Jasha Ngajiya Johari merupakan penghafaz al-Quran.
Latar belakang pemuda berusia 21 tahun yang bekerja kelindan lori itu terbongkar selepas dia ‘ditebuk’ seorang ustaz di sebuah masjid di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras baru-baru ini.
Ahmad Jasha yang merupakan anak yatim berkata, dia mendampingi kalam Allah itu kerana amanat arwah bapanya.
“Saya mula menghafaz al-Quran ketika berusia 13 tahun dan khatam 30 juzuk kira-kira dua tahun kemudian. Itu adalah amanah arwah ayah kepada ibu saya,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini baru-baru ini.
Menurut pemuda itu, sepanjang tempoh menghafaz, sokongan keluarga terutama ibu dan abangnya, selain guru-guru serta rakan-rakan menjadi sumber kekuatan dirinya.
Mengulas mengenai kaedah hafazan yang digunakan, Ahmad Jasha berkata, dia akan membaca ayat yang mahu dihafal sebanyak 50 hingga 70 kali selain memahami jalan cerita dan maksud ayat tersebut bagi memudahkan hafazan.
Bagaimanapun, katanya, cabaran ekonomi keluarga antara ujian terbesar yang terpaksa ditempuh, namun mereka tetap bersabar dan tidak menjadikan kesempitan hidup sebagai alasan untuk berputus asa.
“Saya pernah rasa hampir berputus asa pada peringkat 10 juzuk pertama, tetapi akhirnya berjaya meneruskan dengan penuh rasa sabar dan tekad yang kuat,” ujarnya.
Cerita Ahamad Jasha, sekolahnya mengamalkan sistem semi akademik, justeru dia dapat menyeimbangkan antara hafazan dan akademik.
“Saya fokus kepada al-Quran dan tajwid, namun pada masa yang sama tidak pernah meninggalkan pelajaran,” katanya.
Ahmad Jasha yang menetap di Shah Alam mengakui dia perlu berjauhan dengan keluarga untuk tempoh yang lama selain terpaksa melepaskan banyak keinginan demi memastikan dia dapat menumpukan perhatian terhadap hafazan.
Walaupun bekerja sebagai kelindan lori, lelaki itu mengakui minatnya terarah kepada bidang lain seperti sukan tempur, namun akan tetap berusaha mengulang hafazan secara konsisten.
“Secara jujurnya, saya lebih menumpukan kerja sekarang, tetapi alhamdulillah masih lagi mengulang hafazan. Saya juga rasa masih memerlukan bimbingan,” katanya merendah diri.
Ahmad Jasha turut menasihati orang ramai agar tidak malu untuk menuntut ilmu agama terutama al-Quran.
“Jangan peduli mulut orang yang ingin menjatuhkan kita. Kuatkan semangat, jaga mata dan hati. Belajarlah apa sahaja ilmu yang bermanfaat untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Insya-Allah apa yang diinginkan akan tercapai,” ujarnya.















