PETALING JAYA – Caruman sukarela Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat kepada RM19.2 bilion di mana Program i-Saraan merupakan pemacu utama dengan jumlah penerima insentif meningkat 35.9 peratus kepada 720,056.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, jumlah caruman mengalami peningkatan sebanyak 50.8 peratus kepada RM4.0 bilion.
Katanya, bilangan ahli sektor formal Malaysia yang mencarum melebihi kadar berkanun melalui i-Topup meningkat 26.0 peratus kepada 229,901.
“Secara keseluruhan, jumlah caruman meningkat 12.3 peratus kepada RM121.5 bilion, disokong oleh pertambahan keahlian, pertumbuhan gaji dan keyakinan yang berterusan terhadap KWSP,” katanya.
Terdahulu, KWSP mengumumkan dividen 6.15 peratus untuk Simpanan Shariah dan Konvensional bagi tahun 2025.














