PETALING JAYA – Rumah tangga penyanyi Tom menjadi bualan ramai apabila secara terbuka mengakui bakal bercerai dengan suaminya, Fuad Rahman selepas mendakwa dirinya curang dengan lelaki lain.
Tom atau nama penuhnya Raja Farah Afzal Raja Ikram, 40, dalam satu hantaran Facebook turut melabel dirinya sebagai perempuan gatal yang curang dengan dua lelaki berbeza.
“Saya sudah nak bercerai dengan Fuad sebab curang bersama lelaki bernama APang dan Abang Jidin.
“Saya perempuan gatal, semua salah saya,” katanya.
Tambah Tom, dia juga meminta orang ramai tidak mencarinya dan mengalu-alukan mana-mana wanita lain untuk menggantikan tempatnya sebagai isteri Fuad.
“Okey, sudah jangan cari saya lagi, saya nak pergi curang sana sini lagi.
“Sesiapa nak ambil tempat saya, silakan.
“Kami sudah nak cerai, rugi tidak ‘adjust’ sebab suami saya tak bersalah, dia baik,” katanya lagi.
Hantaran tersebut bagaimanapun sudah dipadam beberapa jam kemudian.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada perkongsian tersebut hanya sekadar gurauan atau sebaliknya.
Terdahulu, Tom dan Fuad selamat bernikah pada 26 Februari 2023 selepas menjalin cinta ketika menyertai Gegar Vaganza musim ke-9.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata Putri Anggun Lovellia yang kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE














