OMAHA, NEBRASKA – Dua pemandu berdepan cetik cemas apabila kenderaan mereka jatuh ke dalam lubang benam yang terbentuk semasa mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat, lapor akhbar New York Post.
Kejadian itu melibatkan sebuah trak pikap jenis Dodge Ram dan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenama Jeep di bandar Omaha, dalam negeri Nebraska, baru-baru ini.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan dua kenderaan itu berhenti semasa lampu isyarat merah sebelum ‘disedut’ ke dalam tanah.
Pemandu trak pikap menyelamatkan dirinya dengan keluar melalui pintu penumpang, manakala pemandu Jeep dibantu oleh penduduk tempatan.
Jurucakap Polis Omaha, Leftenan(polis) Dan Martin berkata, tiada kecederaan dilaporkan.
Kedua-dua kenderaan berjaya dikeluarkan daripada lubang benam sekitar pukul 5:30 petang (waktu tempatan), dua jam selepas lubang besar itu muncul.
Kejadian itu menyebabkan saluran paip air pecah dan jalan ditutup selama beberapa hari.
Jabatan Polis Omaha memberi amaran bahawa lubang benam itu berpotensi untuk menjadi lebih besar. – AGENSI














