KULAI – Lima sekolah lagi di sekitar Sengkang dan Taman Kota Kulai di sini diarahkan tutup sementara susulan insiden kebakaran sebuah kilang memproses getah dan Plastik di Kawasan Perindustrian Sengkang, kelmarin.
Penutupan lima buah sekolah terkini menjadikan jumlah keseluruhan institusi pendidikan ditutup sementara setakat ini sebanyak tujuh buah sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, langkah tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta guru terjamin.
“Tindakan penutupan sementara ini adalah sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak bergantung kepada penilaian semasa pihak kesihatan.
“Penutupan itu melibatkan empat sekolah rendah, dua sekolah menengah dan sebuah sekolah agama,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang, SJKC Kulai Besar, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Kulai, SK Taman Kota Kulai 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Kulai, SMK Taman Putri dan Sekolah Agama (SA) Taman Kota Kulai.
Aznan berkata, sepanjang tempoh penutupan itu, pihak sekolah diarahkan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor.
Dalam pada itu, beliau menggesa supaya semua pihak termasuk ibu bapa dan penduduk setempat dinasihatkan supaya mematuhi arahan serta nasihat semasa yang dikeluarkan oleh PKD dari semasa ke semasa.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebuah kilang memproses getah dan plastik di Jalan Sengkang di sini musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 4.37petang kelmarin.-KOSMO! ONLINE














