PENYERANG import Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva dijangka mampu menambah sengat buat Harimau Malaya jika dapat melengkapkan proses naturalisasi sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam, bulan depan.
Pemerhati bola sepak tanah air, Prof. Madya Dr. Zulakbal Karim berpandangan pemain kelahiran Brazil itu sebagai buah catur terakhir buat skuad kendalian Peter Cklamovski melakar kejutan di bumi Hanoi nanti.
“Saya harap Bergson dapat diberikan lampu hijau segera untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya. Situasi ini sangat penting kerana kita bakal menentang pasukan kuat seperti Vietnam nanti,” katanya kepada Kosmo!.
Difahamkan, selain Bergson, dua lagi calon import yang berpotensi untuk dinaturalisasikan adalah perancang tengah JDT, Manuel Hidalgo dan pertahanan Kuala Lumpur City (KL City), Giancarlo Gallifuoco.
Cklamovski sebelum ini mendedahkan Bergson pemain yang paling hampir untuk diserapkan dalam kem Harimau Malaya pada jendela antarabangsa akan datang selepas genap lima tahun bermastautin di Malaysia.
Bergson yang berusia 35 tahun dianggap antara pemain import terbaik dalam sejarah Liga Malaysia selepas berjaya membantu JDT mengecapi pelbagai kejayaan termasuk menjaringkan 176 gol sejak 2021.
Situasi sama melibatkan Gallifuoco yang sudah menyarung jersi skuad Warga Kota sejak 2021 dan dijangka mendapat taraf kewarganegaraan dalam masa terdekat.
Malaysia sudah mula merekrut pemain import yang berkualiti sebagai calon naturalisasi sejak 2018 seperti Mohamadou Sumareh, Guilherme De Paula, Lee Tuck, Liridon Krasniqi, Sergio Aguero, Endrick Dos Santos dan Paulo Josue.
Skuad negara ketika ini memacu carta kelayakan Kumpulan F dengan 15 mata, tiga mata dibezakan dengan Vietnam yang menduduki tangga kedua selepas mengharungi lima perlawanan.














