PETALING JAYA – Pelaburan dolar Amerika syarikat (AS) AS$3.2 bilion oleh Google di Malaysia yang diumumkan pada Mei 2024 bergerak dengan kemajuan memberangsangkan, malah melangkaui jangkaan awal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan dimaklumkan sewaktu beliau mengadakan sidang video bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet & Google, Ruth Porat serta pasukannya pada pagi tadi.
Menurutnya, pelaburan berkenaan merangkumi pembinaan dan pengoperasian pusat data serta perkhidmatan awan Google yang pertama di Malaysia.
“Apabila mula beroperasi kelak, ia dijangka menyokong penghasilan kesan ekonomi berjumlah AS$3.2 bilion dan mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030.
“Pelaburan strategik ini adalah manifestasi keyakinan berterusan terhadap ekosistem ekonomi digital negara. Ia selari dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau bagi aliran data yang selamat, pengkomputeran awan dan inovasi kecerdasan buatan (AI),” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Beliau berkata, kerajaan kekal konsisten dalam memudah cara serta menyediakan platform sokongan yang diperlukan bagi memastikan pelaburan diumumkan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.
“Dalam semangat ini, saya mengalu-alukan Google untuk terus meneroka peluang pelaburan tambahan di Malaysia pada masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














