fbpx
Kesan tembakan pada pintu penumpang hadapan SUV X70 dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam.

Tak sampai 24 jam, suspek tembak kenderaan komander AKPS ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan suspek yang disyaki melepaskan tembakan terhadap kenderaan komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses soal siasat terhadap suspek sedang dijalankan oleh pihak polis.

“Ia satu insiden yang amat kita kesal, tapi kita bersyukur kerana komander AKPS itu selamat ketika keluar awal pagi nak solat subuh, tembakan hanya kena pada kenderaannya.

“Tapi kita dah buat tangkapan tak sampai 24 jam dan sekarang sedang berlaku proses soal siasat,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai kes tembakan terhadap kenderaan seorang komander AKPS di Bukit Kayu Hitam, semalam.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution menegaskan, jaminan tentang keselamatan sempadan termasuk anggota yang bertugas adalah keutamaan kerajaan.

Menurut beliau, negara tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk ancaman dan segala usaha dilakukan bagi memastikan keselamatan agensi yang bertanggungjawab

“Agensi yang bertanggungjawab di pintu sempadan berdepan dengan ancaman rentas sempadan; penyeludupan senjata, dadah dan manusia; pendatang asing tanpa izin, jenayah bersindiket dan segala macam adalah bentuk ancaman,” katanya.

Semalam, kenderaan Proton X70 dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M Nasir ditembak dua das tembakan.

Dalam kejadian pukul 5.40 pagi itu, dua lelaki bermotosikal menghampiri kereta Proton X70 dipandu Nasaruddin dan melepaskan tembakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN