LIPIS – Seorang wanita warga emas menanggung derita apabila penglihatannya semakin merosot ekoran penyakit kencing manis dihadapi selain masalah buah pinggang.
Fatimah Ludin, 62, berkata, dia yang menghidap penyakit kencing manis sejak berusia 50 tahun kini menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu di sebuah pusat rawatan di Lipis bagi meneruskan kelangsungan hidup.
“Dulu masih nampak sikit-sikit, sekarang ini jauh dekat pun sudah tak nampak sangat. Kadang-kadang langsung tak nampak,” katanya kepada Kosmo! di sini, kelmarin.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, keadaan kesihatannya yang semakin merosot turut menyebabkan dirinya terpaksa menggunakan lampin pakai buang setiap hari, dengan perbelanjaan mencecah ratusan ringgit sebulan.
Tambah Fatimah, suaminya, Jasni Md. Nor, 65, pula merupakan pesara polis menghidap penyakit jantung sejak empat tahun lalu dan kini masih menunggu panggilan untuk menjalani rawatan lanjut.
“Pendapatan keluarga kami hanya bergantung kepada pencen suami yang berjumlah kira-kira RM2,300 sebulan. Dengan duit itulah kami guna untuk makan, beli ubat, kos perjalanan ulang-alik ke Kuantan untuk rawatan jantung dan dialisis. Kadang-kadang terpaksa bermalam di rumah saudara,” jelasnya.
Katanya, keadaan ekonomi yang semakin mencabar ditambah dengan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan mereka semakin tertekan, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan dan Aidilfitri.
“Saya harap ada pihak yang dapat bantu kami. Memang bergantung pada pencen sahaja. Kalau tak ada bantuan, kami susah,” ujarnya.
Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan kepada keluarga Fatimah boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional 0699541100121243 atau menghubungi talian 010-800 4431.















