fbpx
Muhammad Danish (kiri) dan Iman Solehin bangga terpilih untuk menjadi imam tarawih di Osaka oleh Pusat Dakwah Jepun (JDC).

Danish, Iman Solehin syukur jadi imam tarawih di Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Peluang mengimamkan solat sunat tarawih sepanjang Ramadan ini di bumi Matahari Terbit menjadi pe­ngalaman paling bermakna buat dua pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Muhammad Danish Arman Shah, 23, dan Iman Solehin Zuliadi, 23, tidak menyangka pemilihan mereka sebagai imam di Pusat Dakwah Jepun (JDC) di Sumiyoshi, Osaka membuka lembaran baharu dalam perjalanan dakwah mereka.

Muhammad Danish yang merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pemba­ngunan Sumber Manusia (Kepujian) berkata, peluang itu hadir selepas beliau aktif dalam Kelab TeknoHafiz UTM yang menumpukan kepada pengajian dan hafazan al-Quran.

“Apabila ustaz penasihat memaklumkan ada jemputan daripada JDC, saya dan Iman terus bersedia. Rasa teruja memang tak dapat digambarkan kerana bukan semua orang berpeluang menjadi imam di luar negara.

“Saya juga bertuah sebab boleh bertutur bahasa asas Jepun dan pernah melancong ke sini. Ia sedikit sebanyak beri ke­lebihan sebagai persediaan awal untuk ke sana,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Ujar anak kelahiran Cheras, Selangor itu, tempoh khidmatnya di Osaka adalah selama 35 hari dan beliau dijadual pulang ke tanah air selepas Aidilfitri.

Sementara itu, Iman Solehin yang merupakan pelajar tahun tiga Kejuruteraan Mekanikal mengakui terkejut pada awalnya apabila namanya dicalonkan.

“Saya pernah ke Mesir untuk talaqqi al-Quran dan tunaikan umrah di Arab Saudi, tetapi menjadi imam di negara majoriti bukan Islam seperti Jepun adalah pengalaman yang sangat berbeza.

“Sepanjang berada di Osaka, kami mengimamkan solat secara bergilir bersama beberapa imam lain dari Malaysia termasuk wa­kil Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Suasana tarawih di JDC sedikit berbeza berbanding di Malaysia apabila hanya lapan rakaat dilaksanakan sebelum diteruskan dengan tazkirah ringkas tanpa wirid panjang,” katanya.

Katanya, kapasiti ruang solat agak terhad iaitu sekitar 40 jemaah lelaki dan 20 wanita, namun kehadiran sentiasa penuh terutama pada hujung minggu.

“Jemaah pula sangat pelbagai. Ada warga Jepun yang baru memeluk Islam, pelajar antarabangsa, pekerja dari Indonesia dan Malaysia serta pelancong Muslim yang singgah ke Osaka,” katanya.

Ujarnya, cabaran utama adalah suhu sejuk serendah lima darjah Celsius pada awal Ramadan.

“Bila keluar rumah memang terasa menggigil, tetapi dalam masjid ada sistem pemanas. Alhamdulillah, ibadah dapat dilaksanakan dengan selesa,” katanya.

Tambahnya, segala makan minum ditanggung pihak JDC, manakala imam ditempatkan di rumah sewa berhampiran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN