fbpx
Kanan: Penulis tidak ketinggalan dapat ikan tilapia air masin, rupanya juga berlainan sedikit berbanding saudaranya yang hidup di air tawar.

Pancing ikan tilapia air masin resort

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUJUAN asal kami hadir ke lokasi ini adalah untuk memancing ikan bawal pinang atau dikenali sebagai snubnose pompano yang terlepas dari sangkar ternakan yang disedari oleh seorang rakan kami sewaktu dia menjala udang.

Lokasi ini berada di dalam Seri Nipah Resort di Kampung Nipah di Bachok, Kelantan.

Resort ini terletak di tepi laut dan terdapat satu alur sungai bersebelahan dengan pantai dan masuk ke dalam kawasannya.

Pada mulanya kami memancing di bahagian luar sahaja, namun tidak dapat apa-apa sambaran dari ikan. Jadi kami mengambil keputusan masuk ke dalam kawasan resort untuk mencubanya.

Selepas berbicara dengan penjaga resort kami dibenarkan masuk, itupun dengan berjalan kaki kerana hanya penginap sahaja dibenarkan bawa kenderaan ke dalam.

Kami dinasihatkan juga supaya menjaga kebersihan kawasan tersebut dan jangan melakukan sebarang kerosakan.

Sungainya tidaklah luas sangat tetapi ada arus pasang surut. Unik­nya, terdapat pelbagai jenis ikan air tawar dan air masin hidup di dalamnya seperti haruan, tilapia, puyu, sepat, bulan, kerapu, siakap merah, siakap putih dan bawal pinang.

Lubuk
Sambil berjalan menyusur sungai, kami sempat melontar gewang-gewang mikro untuk mencuba nasib, namun ia tidak membuahkan hasil.

Selepas itu, kami mengambil keputusan berhenti di satu kawasan yang lubuknya nampak gelap dan dalam, lalu mencuba pancing dasar dengan tiga jenis umpan iaitu udang pasir hidup, udang mati dan roti Gardenia yang dipotong dadu.

Beberapa minit kemudian kami mula melabuhkan umpan dan menanti dengan penuh harapan.

Hujung joran ketiga-tiga kami bergegar, tetapi apabila disembat, tidak lekat ikannya. Adakah ia ikan bawal pinang?

Lubuk yang dihuni ikan tilapia air masin yang berada di dalam Seri Nipah Resort.

Ia menjadi tanda tanya, umpan dilabuhkan semula dan kemudian joran Abang Jeff bergetar lagi. Kali ini dia betul-betul bersedia dan menanti hingga ikan menelan terus umpan barulah disembat.

Rupa-rupanya ia adalah seekor ikan tilapia saiz kasar.

Tidak lama kemudian saya turut dapat seekor lagi ikan tilapia. Bob membalas dengan seekor ikan kerapu pula selepas itu. Sememangnya ikan laut dan ikan darat berkongsi habitat di sini.

Beberapa ekor tilapia lagi kami dapat selepas itu, nampaknya lubuk tersebut ada penghuninya.

Ketam nipah
Dalam pada melayan ikan tilapia, ada satu getuan yang kelihatan lain macam berlaku kepada joran abang Jeff, ia memberat hingga melentok tidak bergetar.

Apabila disentap, ia tidak memberikan perlawanan seperti ikan, ia memberat ke satu arah sahaja. Beberapa detik kemudian ia menunjukkan diri, rupa-rupanya ia ialah seekor ketam nipah bersaiz kasar mengapai-gapai penyepitnya untuk meloloskan diri.

Biasanya mata kail tidak bertahan lama di mulut ketam dan ia senang terlucut, cepat-cepat abang Jeff mencapai belakang ketam nipah itu dan menaikkannya.

Selepas itu lubuk itu menjadi sunyi, mungkin ikan-ikan di dalamnya sudah menjadi culas.

Kami masih lagi menunggu selama satu jam lagi. Namun, getuan-getuan kecil sahaja yang diterima.

Ikan bawal pinang juga tidak nampak ‘batang hidungnya’, mung­kin sudah habis dituai penduduk sekitar. Lantas, sesi memancing ditamatkan dan kami terus berangkat pulang.

Kami bawa pulang semua ikan tilapia dan terus disiang dan dimasak. Kami dapati rasanya lebih sedap berbanding dengan yang hidup di air tawar. Tekstur dagingnya lebih pejal dan rasa isinya juga lebih manis.

Paling penting bau hanyirnya juga tidak kuat.

Saya merasakan ini berkemung­kinan disebabkan ia makan benda berlainan di habitat air masin berbanding alga dan lumut di air tawar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN