fbpx
Poster yang dimuat naik oleh PHM di laman Facebook.

Kerana telekung badan binasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Orang ramai terutama penunggang dan pembonceng motosikal dinasihatkan supaya lebih peka terhadap aspek pemakaian ketika berada di jalan raya bagi mengelakkan tragedi tidak diingini berlaku.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook Public Health Malaysia (PHM), satu kejadian membabitkan seorang lelaki yang maut, manakala isterinya cedera parah selepas telekung yang dipakai wanita itu tersangkut pada tayar motosikal.

Menurut PHM, insiden tersebut berpunca daripada kain telekung yang terbelit pada tayar sebelum motosikal tersebut hilang kawalan dan terbabas.

“Bukan sebab laju, bukan sebab langgar orang. Tapi sebab telekung yang dipakai tersangkut pada tayar motosikal, motosikal hilang kawalan, mereka terjatuh. Satu detik yang tak sempat diundur,” ujarnya.

Sehubungan itu, PHM mengingatkan orang ramai agar mengambil sekurang-kurangnya 20 saat sebelum motosikal bergerak untuk memastikan pakaian berada dalam keadaan kemas dan selamat.

Antara langkah yang disarankan termasuk menarik dan mengemaskan telekung ke bahu memakai seluar panjang di bahagian dalam bagi melindungi kaki dan mengelakkan kain terlalu labuh terjuntai berdekatan tayar dan rantai.

PHM turut menegaskan pakaian labuh seperti telekung, kain sarung, jubah dan selendang mempunyai risiko untuk tertarik masuk ke dalam komponen motosikal jika tidak dikendalikan dengan betul.

“Keselamatan di jalan raya bukan hanya tentang cara kita menunggang. Ia juga tentang benda yang melekat pada badan kita,” jelasnya.

Tambahnya, tindakan kecil seperti mengemaskan pakaian sebelum bergerak mampu menyelamatkan nyawa dan mengelakkan ahli keluarga daripada berdepan kehilangan yang tidak dijangka.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN