TIGA pelumba muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan, Muhammad Naqib Rifqi dan Qayyim Razin Razali tekad memulakan cabaran Idemitsu Moto4 Piala Asia 2026 dengan aksi terbaik pada pusingan pembuka tirai di Litar Antarabangsa Chang, Thailand bermula esok.
Saingan berlangsung serentak dengan Perlumbaan MotoGP di Grand Prix (GP) Thailand itu dijangka menyajikan aksi agresif apabila menampilkan seramai 20 pelumba dari enam negara, termasuk 15 muka baharu yang memburu gelaran sulung di pentas Asia.
Qabil Irfan kini diletakkan sebagai sandaran utama selepas mempamerkan tunggangan meyakinkan dengan melakar catatan kedua terpantas keseluruhan pada sesi ujian rasmi di Sepang, baru-baru ini.
Pelumba Terengganu itu dijangka berdepan tentangan sengit pelumba Jepun, Kotaro Togashi yang mencatat keputusan terpantas di Sepang selain dia juga sebenarnya antara pencabar utama Qabil ketika menjuarai MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol.
“Sesi ujian di Sepang memberi petanda positif. Saya sudah bersedia sepenuhnya dan bertekad melakukan yang terbaik demi rakyat Malaysia.
“Pencabar dari Jepun, Indonesia dan Australia adalah ancaman utama, namun saya akan cuba mendapatkan catatan masa terbaik bermula dari sesi latihan lagi,” kata Qabil.
Sementara itu, Naqib berharap pengalaman luasnya beraksi di litar sama ketika Thailand Talent Cup (TTC) sebelum ini mampu menjadi ‘senjata’ buatnya untuk mencabar kelompok hadapan.
“Saya sangat berpuas hati dengan peningkatan prestasi sepanjang sesi ujian. Saingan Moto4 memang pantas, tetapi saya menyasarkan untuk berada di kelompok depan berdasarkan pengalaman (mileage) yang saya ada di Litar Buriram,” jelas Naqib.
Bagi Qayyim yang bakal membuat penampilan sulung di pentas Asia, status sebagai pelumba ‘rookie’ tidak menghalangnya untuk memasang impian besar menduduki podium.
“Alhamdulillah, saya dapat menyesuaikan diri dengan jentera dengan cepat. Walaupun ini penampilan pertama saya, saya mahu berada dalam kedudukan lima terbaik dan jika ada rezeki, menaiki podium,” katanya.
Selepas aksi di Thailand (27 Februari-1 Mac), kalendar Moto4 Asia Cup akan diteruskan ke Qatar pada April, diikuti Pusingan 3 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (31 Julai-2 Ogos).














