KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menegaskan jalan raya awam yang dibina atas tanah milik kerajaan tidak dibenarkan dijual atau diserahkan kepada pihak swasta, khususnya jalan utama kerana merupakan aset strategik negara serta kemudahan untuk rakyat.
Timbalan Menterinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, penglibatan pihak swasta hanya terhad kepada pengurusan dan penyelenggaraan melalui perjanjian konsesi tanpa menjejaskan pemilikan kerajaan.
“Bagi memastikan kepentingan rakyat terpelihara dan akses awam tidak disekat, sebarang penutupan, pelupusan atau perubahan status jalan tertakluk kepada pewartaan dan kelulusan pihak berkuasa.
“Ia berkaitan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), serta Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 828),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan P. Prabakaran (PH – Batu) yang ingin tahu sekiranya terdapat kemungkinan jalan raya atas tanah kerajaan diserahkan kepada swasta.
Dalam pada itu, menjawab soalan mengenai mekanisme dalam mempertimbangkan sebarang perubahan laluan jalan awam yang melibatkan tanah kerajaan, Syed Ibrahim berkata perkara itu tertakluk kepada kuasa dan kelulusan pihak berkuasa negeri.
“Kerajaan mengguna pakai mekanisme penilaian yang berlapis, merangkumi semakkan status tanah di bawah Akta 828.
“Ini termasuk pengesahan sama ada laluan berkenaan merupakan tanah kerajaan atau simpanan jalan, penilaian teknikal oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan berhubung keselamatan kapasiti dan kerajaan,” katanya.
Syed Ibrahim menjelaskan peranan pihak berkuasa negeri penting untuk meluluskan penyediaan laluan-laluan alternati sebelum sebarang perubahan laluan dilaksanakan.-KOSMO! ONLINE.














