fbpx
Kesan tembakan pada pintu penumpang hadapan SUV X70 dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam.

Tembakan sasar Komander AKPS, mungkin bermotif tidak puas hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Polis menyiasat semua aspek berkaitan kes tembakan melibatkan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam termasuk ketidakpuasan hati sindiket penyeludupan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, ia susulan kejayaan AKPS mematahkan banyak cubaan penyeludupan dan membuat rampasan di sempadan.

“Dalam tahun ini, AKPS banyak melakukan kejayaan daripada segi rampasan. Contohnya pada bulan lalu, rampasan 100 tan beras, daging khinzir dan sebagainya.

“Jadi kita akan siasat semua aspek termasuk kemungkinan ketidakpuasan sindiket-sindiket. Di pihak polis sendiri kita juga banyak tangkap migran, maknanya ia berpusat di sini, ” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, mangsa kemungkinan menjadi sasaran memandangkan jawatan beliau sebagai Komander AKPS di sini.

Sementara itu, Mohd. Adzli berkata, salah satu tembakan melalui cermin tingkap pemandu yang ketika kejadian dalam keadaan terbuka.

“Tembakan itu bagaimanapun tidak mengenai pada mangsa,” ujarnya sambil memberitahu senjata yang digunakan dipercayai jenis semi auto.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir nyaris terkena tembakan yang dilepaskan ke arahnya dalam kejadian di sini pada pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu berlaku ketika Mohd. Nasaruddin dalam perjalanan ke sebuah masjid untuk menunaikan solat subuh dengan memandu X70.

Beliau bagaimanapun terselamat apabila dua tembakan yang dilepaskan salah seorang daripada dua suspek menaiki sebuah motosikal tersasar.

Tembakan terkena pada pintu penumpang belakang sebelah kanan dan pintu penumpang hadapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI