fbpx

Isteri saya bukan rusuk kiri, sebaliknya tulang belakang – Fauzi Nawawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Terkenang pemergian abang kandung secara tiba-tiba menjelang Aidilfitri 2024, pelakon Fauzi Nawawi berkongsi kisah dugaan berganda apabila selama beberapa hari terpaksa menyambut 1 Syawal di hospital.

Fauzi atau nama lengkapnya, Muhammad Fauzi Mohd. Nawawi, 53, berkata, kehilangan insan kesayangan tanpa sempat meninggalkan pesan menjadi antara peristiwa yang menggamit perasaan sayu setiap kali menjelang hari raya.

“Pemergian abang dengan mengejut turut memberi kesan kepada saya. Pagi itu kami ada berborak di telefon, rancang nak konvoi ziarah saudara mara masa raya di kampung di Pantai Remis, Perak.

“Abang juga ada tanya bila nak balik berbuka, tapi petang sama saya dapat tahu dia sakit dan malamnya meninggal dunia. Selepas kematian abang, ada sedikit kejadian yang buatkan saya jatuh sakit.

“Saya terlampau terkejut. Ada benda yang saya nak beri pada arwah tak kesampaian. Saya reda, cuma terkilan tak sempat minta maaf. Saya kerap bergurau kasar dengan abang,” katanya ketika ditemui di set bazar Dapur Goodday: Misi Inspektor Sani di Bazar Ramadan Presint 3, di sini, baru-baru ini.

Selesa tidak mendedahkan punca ditahan di wad, akui suami kepada pelakon Lisdawati, isterinya merupakan tulang belakang yang memulihkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan.

“Isteri saya bukan rusuk kiri, sebaliknya tulang belakang dan pembakar semangat untuk saya kembali kuat melalui detik sukar.

“Kehidupan selesa dan bahagia yang saya nikmati hari ini pun salah satunya adalah asbab doa serta nasihat isteri,” ujar bapa kepada lapan anak itu.

Terdahulu, abangnya yang merupakan anak keenam daripada 12 bersaudara menghembuskan nafas terakhir pada 25 Ramadan 2024, dipercayai akibat serangan jantung.

Sebagai anak bongsu, kata Fauzi dia rapat dengan adik-beradiknya, malah Allahyarham juga merupakan abang yang sentiasa menjadi pendengar setianya.

Dalam perkembangan lain, Fauzi akan muncul sebagai tetamu dalam program realiti Dapur Goodday: Misi Inspektor Sani yang dikendalikan pelakon, Zizan Razak.

Rancangan masakan Dapur Goodday itu kembali dengan musim kedua bermula pada 18 Februari lalu di saluran Astro Ria. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI