fbpx
Beberapa gambar yang dimuat naik pengguna LRT yang terkesan

Saya arahkan CEO Prasarana beri penjelasan dalam pasca Kabinet – Anthony

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Gangguan berulang perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada awal Ramadan mengundang perhatian serius kerajaan apabila Menteri Pengangkutan mengarahkan siasatan segera dijalankan terhadap insiden terbabit.

Anthony Loke Siew Fook berkata, rakyat berhak menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien, selamat dan boleh diharap, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan yang menyaksikan peningkatan jumlah penumpang pada waktu puncak.

“Saya telah mengarahkan CEO Prasarana untuk memberi penjelasan dalam mesyuarat pasca-Kabinet berserta pelan tindakan pemulihan segera,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) turut diarahkan menjalankan siasatan terhadap insiden-insiden tersebut dan mengambil tindakan terhadap Prasarana sekiranya terbukti berlaku kelemahan operasi yang tidak munasabah.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya sekali lagi mengalami gangguan pagi ini sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa di kebanyakan stesen.

Tinjauan di media sosial mendapati orang ramai terpaksa bersesak di Stesen Sri Rampai, Pasar Seni, Masjid Jamek, KLCC dan beberapa stesen lain.

Lebih membimbangkan, tular sekeping gambar memaparkan seorang penumpang pitam dipercayai akibat terlalu lama berhimpit dan menunggu tren. Insiden terbaharu itu mencetuskan kemarahan pengguna yang menyifatkan alasan gangguan teknikal selama dua hari berturut-turut sebagai tidak munasabah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI