PETALING JAYA – Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad meluahkan rasa pilu terhadap nasib lima petugas kesihatan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menjalankan tugas, baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata, kelima-lima petugas itu dengan niat memastikan kawasan perumahan bebas daripada ancaman denggi, namun diuji dengan kemalangan yang serius dalam perjalanan melaksanakan amanah tersebut.
“Hati saya luluh melihat keadaan lima wira kesihatan kita di Hospital Pulau Pinang sebentar tadi.
“Amat meruntun jiwa apabila memikirkan mereka yang sepatutnya melindungi nyawa orang awam, kini pula yang sedang bertarung nyawa,” katanya.
Menurut beliau, dua daripada mangsa kini berada di bawah pemantauan rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala tiga lagi sedang menerima rawatan di wad biasa.
Beliau turut memohon seluruh rakyat Malaysia agar mendoakan kesembuhan lima petugas terbabit iaitu Jackson Christianus Juanis, Nursyahida Che Fauzi, Asmidar Ahmad, Muhammad Eusoff Zulkifli dan zura Mohd. Nor.
Dzulkefly berkata, beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa, namun mengakui ia tidak mampu membalas pengorbanan dan keberanian mereka dalam menjalankan tugas.
“Kepada ahli keluarga, kuatkan semangat. Seluruh warga kementerian berdiri teguh di belakang anda semua.
“Kalian semua adalah benteng dan wira sebenar kami. Moga Allah SWT mengurniakan kesembuhan buat kalian semua,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














