GEORGE TOWN – Pembongkaran kegiatan haram memproses sisa elektronik dan plastik yang melibatkan jumlah rampasan RM3.37 juta di sebuah premis di Seberang Perai di sini, baru-baru ini, jelas menunjukkan wujudnya salah guna lesen SW110 dalam kalangan pengusaha kilang.
Pengerusi Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, L. Francis Xavier berkata, hasil serbuan dan rampasan itu menguatkan lagi dakwaannya sebelum ini mengenai pengoperasian kilang kitar semula yang berselindung disebalik kegiatan haram pengimportan sisa elektronik (e-waste) di negeri-negeri wilayah Utara.
“Kami sangat menyambut baik tindakan pantas pihak berkuasa melalui Op Hazard yang berjaya membongkar premis haram serta merampas jumlah besar sisa elektronik dan fasiliti pemprosesan plastik tanpa kelulusan.
“Rampasan dengan nilai jutaan ringgit itu menunjukkan bahawa pemantauan dan semakan menyeluruh terhadap semua lesen kilang di seluruh negara adalah amat penting, agar tiada premis mengambil kesempatan atau melanggar larangan import e-waste yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki warga tempatan ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak dalam serbuan Op Hazard di sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan sisa plastik dan penyimpanan sisa elektronik (e-waste) secara haram di Seberang Perai Selatan, Jumaat lalu.
Serbuan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seberang Perai Selatan.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, pelbagai fasiliti pemprosesan plastik serta sejumlah besar sisa elektronik termasuk jumbo bag dan tong drum berisi cecair minyak tercemar dirampas dengan nilai anggaran RM3.37 juta.
Terdahulu, pertubuhan sama menggesa pihak berkuasa menggandakan operasi pemantauan terhadap kilang-kilang kitar semula yang berselindung disebalik kegiatan haram pengimportan sisa terutama di kawasan perkampungan.
Francis dilaporkan berkata, ini susulan penguatkuasaan larangan mutlak import e-waste berkuat kuasa 4 Februari lalu, selaras usaha memperketatkan kawalan kemasukan sisa berbahaya serta melindungi alam sekitar.
Dakwanya, terdapat segelintir kilang yang mempunyai lesen kitar semula tetapi dipercayai terlibat dengan aktiviti haram termasuk pengimportan e-waste di beberapa lokasi terpencil seperti Ipoh, Pulau Pinang, Sungai Petani dan Kulim. -KOSMO! ONLINE














