KUALA LUMPUR – Polis giat mengesan dan memburu suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pecah cermin kereta serta kecurian beg tangan milik Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di parkir Taman Persekutuan Bukit Kiara, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Ahmad Firdaus Mustaffa Kamal berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada pukul 7.49 malam.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 6.15 petang hingga 7 malam ketika mangsa meninggalkan kenderaannya untuk bersenam di taman rekreasi berkenaan.
“Pengadu meletakkan kereta dalam keadaan berkunci di petak parkir. Bagaimanapun, selepas selesai bersenam, beliau mendapati cermin hadapan sebelah kiri telah dipecahkan.
“Beg tangan yang mengandungi dokumen peribadi, telefon bimbit dan wang tunai turut didapati hilang dan kerugian dianggarkan sebanyak RM6,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan operasi kini giat menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman televisyen litar tertutup di sekitar lokasi kejadian bagi membantu mengenal pasti suspek.
“Sebanyak tiga cap jari yang ditemui pada kenderaan mangsa telah dihantar ke Bahagian Identifikasi Forensik (BIOFIS) Bukit Aman untuk tujuan pengecaman,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Teresa Kok mendakwa kerugian sekitar RM2,000 selepas kenderaannya dipecah dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang, ketika beliau berjoging sejurus hujan lebat berhenti. – KOSMO! ONLINE














