fbpx
SEMUA pencarum KWSP kini tertunggu-tunggu pengumuman kadar dividen bagi tahun 2025. – Gambar Hiasan

Harapan belanja raya guna Akaun 3 makin tipis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hasrat pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menikmati keseluruhan dividen sempena Hari Raya Aidilfitri sukar direa­lisasikan.

Ini kerana sebarang perubahan seperti menambah peratusan agihan dividen KWSP ke dalam Akaun 3 (Fleksibel) daripada 10 peratus ketika ini memerlukan kelulusan kerajaan.

Justeru, harapan pencarum untuk memanfaatkan dividen yang bakal diumumkan tidak lama lagi bagi menampung perbelanjaan raya nampaknya semakin tipis.

Selama ini, KWSP menjadi ‘talian hayat’ bagi mendapatkan wang segera ketika berdepan tekanan kewangan terutama menjelang musim perayaan.

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, perubahan itu bukan boleh dilaksanakan serta-merta kerana ia mengambil masa lama.

“Ia memerlukan satu perubahan dan perubahan ini perlu diluluskan dalam peraturan khas. Maknanya lamalah sikit, bukan­nya serta-merta. Jadi yang pen­ting ia memerlukan komitmen kalau kerajaan bersetuju.

“Namun kerajaan hari ini merasakan KWSP telah ‘digugat’ semasa Covid-19.

“Kalau boleh kerajaan tidak mahu masuk campur aspek ini kerana ia boleh menjejaskan masa depan banyak kumpulan pencarum,” katanya kepada Kos­mo! semalam.

Beliau mengulas mengenai hasrat pencarum KWSP yang mahu kese­luruhan dividen dimasukkan ke Akaun 3 atau meningkatkan peratusan keuntungan daripada 10 peratus kepada 20 hingga 30 peratus.

Barjoyai berkata, ketika ini sebahagian rakyat sangat mengharapkan duit KWSP, sedangkan mereka sedia maklum asas simpanan itu adalah untuk tanggungan hidup ketika hari tua.

“Ramai rakyat Malaysia rasa terdesak, menyebabkan mereka sangat memerlukan bantuan dan cuba mendapatkannya daripada KWSP.

“Mempergunakan dan menggadaikan masa depan dengan meminta kelonggaran seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Sepatutnya minta bantuan daripada kerajaan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan mencari kaedah lain untuk membantu rakyat termasuk meningkatkan pemberian subsidi.

“Kalau kita rasa kerana nak menyambut raya, sedia mengorbankan masa depan. Tentulah mereka kata, ‘apalah nak dikisahkan, masa depan kita ditentukan oleh Allah, bukan kerajaan, bukan siapa’.

“Kalau begitu maksudnya, kita tidak memerlukan KWSP sebenarnya, namun itu satu panda­ngan emosional sahaja,” ujarnya.

Katanya, pihak majikan juga wajar mempertimbangkan kenaikan gaji pekerja dalam berdepan kos sara hidup masa kini.

“Misalnya, mereka patut minta majikan bayar gaji lebih, tetapi kenapa minta KWSP untuk kompromi? Dengan pemikiran, ‘sekurang-kurangnya KWSP duit sendiri, tak minta duit orang lain’, itu mengorbankan masa depan mereka sendiri,” katanya.

Mengikut rekod bagi tahun 2024, kadar dividen KWSP yang diisytiharkan adalah 6.3 peratus untuk akaun Simpanan Konvensional dan Shariah.

Bersandarkan kepada faktor-faktor positif dalam pendapatan KWSP sepanjang 2025, kadar dividen diramalkan berada dalam jajaran 6.3 peratus hingga 6.5 peratus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN