GEORGE TOWN – Seorang wanita ditemukan maut dalam sebuah kereta yang dipenuhi barangan peribadi termasuk beg plastik dan kotak di sebuah stesen minyak di Jalan Paya Terubong di sini, malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 7.48 malam daripada pihak polis bagi membantu membuka pintu kereta Perodua Myvi yang berkunci.
“Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong digerakkan ke lokasi dan peralatan khas digunakan bagi membuka pintu kereta tersebut. Terdapat seorang wanita berusia 37 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu.
“Kenderaan itu padat dengan barangan antaranya termasuk bantal, kotak, beg plastik dan sebagainya. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang tiba di lokasi,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Tambah Mohamad Shoki, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada pukul 8.43 malam tadi. -KOSMO! ONLINE














