fbpx
Fadhlina (dua dari kanan) bertanya khabar kepada Usha ketika menziarahi keluarga mendiang Indiran di Taman Sri Nibong, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

KPM bantu adik bongsu mendiang Indiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan (KPM) meminta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menyelaraskan bantuan sewajarnya bagi murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Greenlane, K. Maitraashini.

Maitraashini merupakan adik bongsu kepada anggota tentera, Truper K. Indiran, 22, yang meninggal dunia, Rabu lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan memastikan kebajikan serta kelangsungan pembelajaran adik mendiang terus terpelihara.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga. Ini adalah kehilangan yang amat besar buat keluarga dan juga negara. Saya hadir sebagai pimpinan negara untuk berkongsi rasa pilu serta mendoakan agar keluarga diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini.

“Saya telah meminta PPD dan wakilnya hadir hari ini supaya kita dapat menyelaraskan sebarang bantuan serta sokongan pendidikan untuk anak ini.

“Keluarga tidak perlu risau, kita akan melihat segala keperluan pendidikan anak ini dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi kediaman keluarga mendiang di Taman Sri Nibong di sini, hari ini.

Selain Maitraashini, mendiang mempunyai dua lagi adik iaitu K. Varshini, 21, yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dan K. Sarvien, 17, pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kulim, Kedah.

Sementara itu, ibu mendiang, S. Usha, 52, berkata, dia amat terharu dengan keprihatinan Menteri Pendidikan yang hadir memberikan sokongan moral.

“Terima kasih atas keprihatinan ini, apatah lagi kami sekeluarga kini dalam fasa menerima hakikat bahawa Indiran sudah tiada,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Truper Indiran ditemui tidak sedarkan diri ketika mengikuti kursus ketenteraan di Rejimen Pertama, Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, Kuantan, Pahang, Rabu lalu dan disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) keesokannya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN