SEBERANG PERAI – Bunyi letupan kecil yang didengari awal pagi tadi telah mengejutkan Jamilah Ismail, 58, ketika sedang memanaskan lauk untuk juadah sahur.
Dia pada awalnya menyangka bunyi tersebut berpunca daripada pergaduhan, namun rupa-rupanya api sedang marak membakar tiga rumah bersebelahan kediamannya kira-kira pukul 5 pagi.
“Saya memang sangkakan bunyi orang bergaduh, tetapi terkejut apabila lihat api sudah merebak ke ketiga-tiga buah rumah.
“Kami tinggal bertujuh di rumah ini dan saya cepat-cepat mengejutkan ahli keluarga sebelum sempat menyelamatkan diri apabila api mula merebak ke bahagian belakang rumah.
“Tiada apa yang sempat diselamatkan kecuali sedikit wang dan dokumen pengenalan diri. Baru tiga hari saya berniaga nasi ulam di bazar Ramadan, namun semua peralatan dan kelengkapan jualan turut musnah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Kediaman Jamilah antara empat rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Permatang Kerai, Kepala Batas, awal pagi tadi. Kesemua mangsa merupakan saudara-mara yang mempunyai pertalian darah.
Seorang lagi mangsa, Shahrul Nizam Omar, 42, pula berkata, rumahnya serta dua buah kereta turut musnah dalam kejadian itu.
“Saya dan dua anak sedang tidur, namun salah seorang anak yang tidur di ruang hadapan terjaga apabila terasa bahang panas.
“Api merebak dengan sangat pantas… saya cuba memadamkan kebakaran menggunakan air paip, tetapi tekanan air di sini rendah.
“Muka saya turut cedera akibat bahang api dan tiada apa yang boleh dilakukan melainkan berlapang dada menerima ujian ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE














