fbpx
SITI ROSLINA (kiri) menunjukkan surat pengesahan penyakit Muhammad Afiq (tengah) di rumah mereka di Kampung Lepan Jaya, Gua Musang semalam. – AIMUNI TUAN LAH

Ibu berkorban ulang-alik 380km rawat anak leukemia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Kasih seorang ibu tiada berpenghujung apabila sanggup berulang-alik kira-kira 380 kilometer (km) dari Gua Musang ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di Kota Bharu setiap kali sesi rawatan kemoterapi anak­nya yang menghidap leukemia.

Siti Roslina Ramlee, 35, yang tinggal di Kampung Lepan Jaya, di sini, berkata, anak bongsunya, Muhammad Afiq Firdaus Mohd. Rozi, 7, disahkan menghidap leukemia sejak dua tahun lalu.

Katanya, sejak daripada itu, dia kerap menemani anaknya berulang-alik seminggu atau dua minggu sekali ke HPUSM untuk menerima rawatan.

“Muhammad Afiq dikesan menghidap leukemia ketika dia berusia empat tahun selepas mengalami demam yang berpanjangan.

“Saya terpaksa memandu kenderaan sendiri kerana suami perlu bekerja bagi menyara keluarga. HPUSM sudah jadi rumah kedua kami apabila banyak masa dihabiskan di sana untuk rawatan anak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ujarnya, Muhammad Afiq jarang ke sekolah kerana keadaan kesihatannya yang perlu sentiasa dipantau kerana masih dalam sesi kemoterapi yang sudah berlangsung selama dua tahun.

Katanya, emosi Muhammad Afiq juga kadangkala tidak stabil apabila sering memberontak serta cepat marah berlainan dengan kanak-kanak normal lain.

“Setiap kali ke hospital untuk mendapatkan rawatan atau menjalani sesi kemoterapi saya terpaksa menghabiskan RM300 sebulan untuk kos minyak kereta, makan dan minum.

“Kami mendapat penginapan percuma apabila HPUSM menyediakan Rumah Ronald McDo­nald. Saya cuma perlu keluarkan kos minyak kereta, makan dan minum. Kami juga bersyukur apabila mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan yang dapat menampung perbelanjaan kami,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam milik Siti Roslina, 0306 3020 4359 53 atau hubunginya di talian 017-982 6812. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN