LENGGONG – Norida Akmal Ayob, 45, tidak mahu mengungkit lagi pengalaman 18 tahun hidupnya di Indonesia.
Jelasnya, apa yang dilaluinya hampir dua dekad lalu menjadi pengajaran buat dirinya.
Dia tidak mahu memberi sebarang komen berkenaan kenyataan yang dibuat oleh pihak tertentu yang mengenai penjalanan hidupnya di negara jiran tersebut.
“Saya tidak mahu komen apa-apa lagi. Saya rasa bersyukur apabila sudah balik ke tanah air dengan selamatnya,” katanya ketika dihubungi di Lenggong hari ini.
Warga Indonesia yang juga bekas suami kepada wanita rakyat Malaysia sebelum ini dilaporkan terkandas 18 tahun di Lombok, menafikan dia mengabaikan bekas isteri serta anak-anaknya selepas mereka berdua berpisah.
Norida yang sering dipanggil makcik di Lombok, menjejakkan kaki semula di Malaysia pada 14 Februari lalu bersama anak perempuannya yang berusia 20 tahun.
Wanita itu mengahwini lelaki Indonesia dan berpindah ke Lombok pada 2008 bersama anak perempuan mereka, sebelum dikurniakan seorang lagi anak lelaki yang kini berstatus warga Indonesia kerana lahir di sana.
Dia kemudian bercerai dan sejak itu ahli keluarga Norida di Lenggong berusaha mengesan wanita itu agar pulang ke kampung halaman.
Usaha gigih bertahun-tahun ahli keluarganya di Kampung Bukit Sapi, Lenggong di Perak akhirnya membuahkan hasil dan dibantu oleh Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Katanya, dia bersyukur dapat melihat kembali setiap wajah ahli keluarganya dan menjalani ibadah puasa bersama-sama.
“Benda yang lepas itu saya tidak mahu ungkit lagi. Itu semua jadi pengajaran dalam hidup saya. Itu sahaja. Selamat menjalani ibadah puasa,” katanya.
Dia sebelum ini berkata dirinya tidak menolak kemungkinan untuk mengunjungi ke Lombok bagi melihat anak lelakinya yang berada di sana selain melawat kenalan yang banyak membantunya memberi tempat tinggal dan pekerjaan setelah diceraikan. – KOSMO! ONLINE














