fbpx
Gambar hiasan.

Lelaki pecah cermin kereta di parkir MRT diberkas, 6 kes selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang terlibat dalam kegiatan memecahkan cermin kenderaan di parkir stesen MRT ditahan sekali gus menyelesaikan enam kes curi dan khianat harta benda di sekitar ibu negara baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan pada tengah hari 17 Februari lalu daripada kerani wanita berusia 31 tahun yang mendakwa keretanya yang diletakkan di parkir MRT Kepong Baru di sini dipecahkan.

“Bertindak atas maklumat, pada pukul 8.30 malam, 21 Februari lalu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sentul menahan lelaki berusia 22 tahun di Damansara, Selangor.

“Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah dan satu rekod dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Basri berkata, pihaknya merampas barangan antaranya telefon bimbit, seutas jam tangan, lima keping kad Touch ‘n Go, pengecas bateri dan pakaian yang digunakan ketika melakukan jenayah tersebut.

Katanya, suspek menyasarkan kawasan parkir stesen MRT dan lokasi sunyi sebagai sasaran. Siasatan mendapati lelaki itu menggunakan serpihan palam pencucuh (spark plug) untuk memecahkan cermin kereta sebelum melarikan barangan berharga.

Tambah beliau, dengan tangkapan itu, pihaknya dapat menyelesaikan enam kes yang dilaporkan setakat ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN