KUALA LUMPUR – Aksi berani mati lelaki yang memandu secara melulu dan berbahaya di sekitar ibu negara membawa padah apabila ditahan pihak berkuasa.
Tindakan itu diambil susulan penularan video berdurasi 20 saat di media sosial yang memaparkan sebuah kenderaan dipandu secara ‘zig-zag’ dan mengekori rapat kenderaan lain sebelum menukar haluan secara gopoh tanpa memberi isyarat.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, kereta jenis Toyota Vios berwarna hitam itu dipandu secara berbahaya dan boleh merisikokan pengguna jalan raya lain.
“Sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman segera melakukan risikan sebelum menahan dua lelaki. Kenderaan itu turut dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di sini untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan kesalahan lalu lintas sehingga mengancam keselamatan awam. – KOSMO! ONLINE














