PETALING JAYA – Dua menu popular iaitu roti john dan martabak didakwa antara juadah yang paling kerap menyebabkan pengunjung bazar Ramadan berasa tertipu.
Tinjauan di Facebook Kosmo! pada hari ketiga Ramadan mendapati rata-rata pengguna media sosial berkongsi pandangan bahawa kedua-dua juadah itu sering ‘indah khabar dari rupa’
Seorang pengguna, Fakhrul Radzi mendakwa roti john yang dibelinya langsung tidak setimpal dengan harga.
“Roti john daging tapi telur semata-mata, harga RM10,” tulisnya ringkas di ruangan komen.
Seorang lagi netizen, Jali turut berkongsi pengalaman hampir sama apabila isi ayam atau daging yang diiklankan seakan-akan ‘ghaib’ selepas dibuka di rumah.
“Roti john… daging/ayam… balik rumah buka penuh kubis dan sos. Tak jumpa pun ayam daging tu,” tulisnya dalam nada geram.
Bukan setakat roti john, martabak juga didakwa menjadi ‘jerat’ pembeli yang terliur melihat rupa luaran yang menyelerakan.
Pengguna, Kairul Anwar mendakwa martabak yang dibelinya kelihatan elok di bahagian atas, namun hangus di bahagian bawah dan berbau kurang menyenangkan.
“Balik tengok sebelah belakang hangus, hitam. Atas masak elok saja. Bila makan isi dalam rasa macam nak masam-masam, macam nak basi,” katanya.
Ellz pula mendakwa ada peniaga yang terlalu berkira dengan inti sehingga pembeli hanya menikmati bawang dan telur semata-mata.
“Kebanyakan peniaga hanya bubuh bawang besar seguni dengan telur. Langsung tak ada ayam, langsung tak ada daging. Baik tulis martabak telur dan bawang saja,” sindirnya.
Seorang lagi pengguna, Faezah turut senada apabila mendakwa martabak yang dibelinya hanya berasa telur dan terlalu masin ketika waktu berbuka. – KOSMO! ONLINE














