PETALING JAYA – Warga Indonesia yang juga bekas suami kepada wanita rakyat Malaysia sebelum ini dilaporkan terkandas 18 tahun di Lombok, menafikan dia mengabaikan bekas isteri serta anak-anaknya selepas mereka berdua berpisah.
Lelaki tersebut dikenali sebagai Badi menerusi temu bual bersama media Indonesia mendakwa, selama masih bergelar suami isteri dengan Norida Akmal Ayob, 45, dia tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, termasuk selepas mereka berpisah secara baik hampir dua tahun.
“Selama saya bernikah dengan Norida dan 18 tahun (dia di Indonesia), tidak pernah saya abaikan. Saya bercerai setahun lapan bulan dan saya masih bertanggungjawab selagi dia di sini.
“Dia dinafkahi selama dia masih di sini, dia ikut ke sini secara sah, bukannya tidak ikut undang-undang. Malah sebelum pasportnya dah nak mati (tamat tempoh), saya buatkan KTP (Kartu Tanda Penduduk Indonesia) supaya dia jadi warga Indonesia,” katanya menerusi video TikTok Tribun Lombok.
Badi berkata, sepanjang perkahwinan mereka, bekas isterinya tidak bekerja dan suri rumah sepenuh masa.
“Jadi tukang sapu, tidak pernah sama sekali. Suri rumah, malah saya tidak beri dia bekerja selama hidup dengan saya kerana dia menjaga anak kami, anak kedua (masih kecil).
“Setelah saya bercerai, saya bertanggungjawab. Saya beri dia wang untuk dia sendiri urus (pulang ke Malaysia). Walaupun kami sudah berpisah, tetapi saya beri makan sepanjang di Lombok,” katanya yang memberitahu Norida tinggal di rumah keluarganya di sana.
Badi berkata, mereka berpisah secara baik, malah masih berhubung sehingga kini, sekali gus dia berasa sedih dengan cerita tersebar di media sosial yang belum dipastikan sahih.
“Saya sedih dengan berita, belum tahu cerita sebenar daripada mantan suami. Dua tahun kami hidup di Malaysia selepas bernikah, kemudian saya ke Sumatera Selatan pulang bersama dia dan anak pada tahun 2012.
“Kemudian saya pulang ke sini (Lombok) sehingga 2023, kami kemudian berpisah. Tapi hubungan itu tetap harmoni. Jadi saya sedih dengan cerita seperti ini, tidak benar. Saya minta maaf kalau itu memang takdir bagi saya, mungkin tuhan saja yang tahu,” katanya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, Norida tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang setelah 18 tahun menetap di Lombok kerana mengikuti bekas suaminya warga Indonesia bersama anaknya, Nur Fateen Akmadiana, 20, yang ketika itu berusia dua tahun.
Bagaimanapun, Norida berpisah dengan lelaki itu dan terpaksa menjalani kehidupan bersendirian dalam kesusahan dengan bekerja sebagai tukang sapu.
Norida memiliki dua anak iaitu Nur Fateen Akmadiana yang dilahirkan di Malaysia, manakala seorang lagi, Muhamad Sabani Daniel dilahirkan di Indonesia.
Usaha membawa pulang Norida dilakukan keluarganya termasuk mendapatkan bantuan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri. – KOSMO! ONLINE
@tribunlombok.comBadi, mantan suami dari Norida Akmal Ayob, warga asal Desa Ubung Lombok Tengah angkat bicara untuk mengklarifikasi pemberitaan viral di media sosial yang menyebutkan bahwa ia telah menelantarkan mantan istrinya yang merupakan warga negara Malaysia tersebut selama 18 tahun.♬ suara asli – TribunLombok.com














